Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuchong – Program Komuniti Aktif, Sihat & Lestari (KASIH) anjuran pasukan Ecoshapers Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 100 peserta di Taman Tasik Seri Aman Public Park, Puchong.
Ecoshapers UKM merupakan inisiatif yang dibangunkan oleh pegawai penyelidik Fakulti Pergigian UKM, Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan UKM dan Pusat Pembangunan Lestari, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Zon 12 serta kelab dan persatuan pelajar UKM seperti Persatuan Belia Harmoni UKM, Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Ibrahim Yaakub dan Persatuan Mahasiswa CITRA (PESISTRA).
Program ini bertujuan membangunkan kapasiti pelajar UKM sebagai generasi pemimpin muda barisan hadapan dalam mencorak Malaysia lestari melalui aktiviti pendidikan interaktif serta meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan mengamalkan gaya hidup sihat.
Lebih 40 ahli Ecoshapers UKM telah terlibat secara langsung dalam program ini yang dilaksanakan di Taman Tasik Seri Aman, sebuah lokasi yang dahulunya merupakan bekas lombong tetapi kini menjadi kawasan rekreasi indah dengan suasana kampung dan menjadikannya sebagai destinasi strategik untuk pembangunan ekopelancongan lestari.
Pelbagai aktiviti berasaskan gaya hidup sihat dan lestari telah diadakan, termasuklah sesi senamrobik yang melibatkan semua peserta serta aktiviti ploging, iaitu mengutip sampah sambil beriadah di sekitar tasik yang berjaya mengumpulkan sebanyak 110 kilogram sampah.

Selain itu, aktiviti eksplorasi gaya hidup sihat lestari turut dijalankan melalui lima stesen pendidikan interaktif, iaitu cabaran pengasingan sisa rumah, kitar semula kreatif, dibuat individu dengan yakin (DIY) menukar pakaian lama kepada beg membeli-belah hijau, DIY kad ucapan dan penanda buku dengan menggunakan seni bunga tekan serta pengecaman ulaman dan herba melalui teknik sensori.


Para peserta juga diberikan pendedahan tentang pemuliharaan biodiversiti melalui aktiviti penyimpanan dan pemuliharaan biji benih bagi memastikan kesinambungan sumber alam semula jadi untuk generasi akan datang.

Stesen kesihatan turut disediakan bagi memberikan perkhidmatan pemeriksaan indeks jisim tubuh, pengukuran kadar kecergasan dan perundingan kesihatan asas bagi menilai tahap kesihatan peserta.
Sesi perkongsian ilmu mengenai kepentingan diet seimbang turut disampaikan oleh Puan Nurul Hidayah Md Fadzil, pelajar pascasiswazah H-CARE UKM yang berkongsi panduan praktikal tentang cara menambah sayur-sayuran dalam diet harian dengan menarik.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif membantu ibu bapa dalam persiapan persekolahan anak-anak, program ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan “Back-to-School” kepada pelajar daripada komuniti sekitar oleh Ahli Majlis Zon 12 MBSJ, Ustaz Fauzan Rosli.
Menurut Ustaz Fauzan Rosli, program ini membuktikan potensi Taman Tasik Seri Aman sebagai hab ekopelancongan yang mampu menggabungkan pendidikan kelestarian dan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat melalui kerjasama erat antara komuniti, akademik dan pihak berkuasa tempatan.

Beliau turut menegaskan bahawa program seperti ini wajar diperluaskan kerana bukan sahaja mendidik masyarakat, malah menawarkan penyelesaian praktikal kepada isu kelestarian melalui aktiviti interaktif dan amali yang merapatkan hubungan antara komuniti dengan institusi pengajian tinggi.
Menurut Pengerusi Persatuan Belia Harmoni UKM, Iffah Khadijah Hisamuddin, program ini menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengasah kepimpinan dan keberanian berinteraksi dengan komuniti serta melihat impak positif yang mereka bawa.
Fawwaz Rajah dari Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Ibrahim Yaakub pula menyatakan bahawa melalui Ecoshapers UKM, para peserta bukan sahaja dapat berkongsi ilmu tentang kelestarian, malah dapat mempraktikkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.
Sementara itu, Muhammad Haziq Abdul Halim dari Persatuan Mahasiswa CITRA (PESISTRA) menyatakan bahawa program ini telah membina semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kelestarian dalam kehidupan harian.

Program ini turut mendapat sokongan daripada Malaysian Research University Network (MRUN) melalui dana geran MROGS-2023-001 serta MBSJ Zon 12 yang menyediakan pembiayaan, kemudahan dan penyertaan komuniti bagi memastikan kejayaan penganjurannya.