Diterbitkan pada 16 Februari 2025, 13:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 81 orang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menghadiri program 9th Colloquium on Sports, Health and Fitness (CoSHaF) bagi membentangkan dan berkongsikan dapatan penyelidikan serta memperkasakan kemahiran penyampaian akademik.

Selain itu, kolokium ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk menerima maklum balas yang membina daripada rakan sebaya, pensyarah dan juri, sekali gus membantu mereka memperhalus kajian sedia ada serta memberikan inspirasi untuk menghasilkan penyelidikan yang lebih berkualiti dan berimpak tinggi.

Turut hadir dalam program CoSHaF pada kali ini ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim yang telah merasmikan majlis dan menyatakan sokongan terhadap penganjuran program tersebut.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penyelidikan bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menyumbang kepada perkembangan ilmu serta manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam bidang sukan, rekreasi dan kesihatan.

“Program seperti ini berpotensi meningkatkan serta membentuk kemahiran komunikasi pelajar, mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan serta membina keyakinan dalam membentangkan idea dan hasil kajian secara profesional,” jelas Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim dalam program CoSHaF ke-9 di UiTM Cawangan Perlis.

Program CoSHaF kali ini merupakan edisi kesembilan dengan tema “From Idea to Impact: Empowering Tomorrow’s Experts” dan turut diserikan dengan sesi perkongsian ilmiah oleh tiga penceramah jemputan.

Penceramah pertama, Dr. Nurul Hidayah Amir telah menyampaikan perkongsian bertajuk “An Evaluation of a Physical Activity and Exercise Promotion Pathway for Young with Congenital Heart Disease”.

Seterusnya, Dr. Mohd Faridz Ahmad membentangkan kajiannya mengenai “Developmental Pathway of Elite U-22 Soccer Players”.

Sementara itu, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Hj. Mohd Kassim menyampaikan topik bertajuk “The Mediating Role of Athletes’ Perceptions of Coaching Effectiveness in the Longitudinal Predictive Effects of Transformational Leadership on Athlete Outcomes”.

Pengarah program CoSHaF, Puan Nurul Afiqah Bakar berharap agar penganjuran program ini secara berterusan dapat meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan pelajar melalui pembentangan dan sesi soal jawab.

Selain itu, beliau menekankan bahawa program ini bukan sahaja membudayakan keilmuan tetapi juga menerapkan nilai etika dalam penyelidikan serta menjadi platform persediaan bagi kajian lanjutan.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Dr. Harris Kamal Kamaruddin pula menyatakan bahawa kolokium ini merupakan inisiatif akademik yang berpotensi memperkayakan pengalaman pelajar.

Beliau berharap kolokium ini dapat menjadi medan yang menghubungkan pelajar, warga fakulti serta pakar luar dalam satu wadah intelektual bagi pertukaran idea dan memperkukuh jaringan akademik.

Beliau turut menegaskan bahawa kolokium ini perlu berfungsi sebagai forum akademik yang menggalakkan sifat ingin tahu dan penerokaan pelbagai perspektif.

Bagi menyuntik semangat peserta, pihak penganjur CoSHaF telah mengambil inisiatif menyediakan dua kategori anugerah, iaitu Best Presenter Award dan Promising Researcher Award.

Anugerah Best Presenter Award dimenangi oleh Encik Nur Nasrullah A. Halim (bidang pengurusan sukan), Puan Umi Mashitah Abdullah (bidang kesihatan dan kecergasan) serta Puan Siti Farhana Harlizan (bidang sains sukan).

Encik Nur Nasrullah A Halim ketika membentangkan hasil dapatan beliau dalam program CoSHaF ke-9.
Barisan penerima anugerah dalam program CoSHaF ke-9.

Sementara itu, anugerah Promising Researcher Award diberikan kepada Puan Fatihah Abu Zarin (bidang pengurusan sukan), Puan Maryam Huda Hayati Jaafari (bidang kesihatan dan kecergasan) dan Encik Muhammad Muiz Zufairi Shokordey (bidang sains sukan).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi