Diterbitkan pada 14 Februari 2025, 12:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ranau – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah memperluas inisiatif penanaman bawang dengan memperkenalkan tiga varieti baharu yang berpotensi tinggi, iaitu BAW-1, BAW-2, dan BAW-3 di Sabah.

Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengkomersialkan pengeluaran benih bawang dengan fasa prakomersialisasi bermula pada 2024 hingga tahun 2025 dan fasa komersialisasi dari tahun 2026 hingga tahun 2030.

Encik Shahrizal Denci, pemilik D&H Plantation yang berpusat di Ranau yang terlibat dalam projek pengeluaran benih bawang BAW-2 dengan keluasan lima ekar dijadualkan akan menuai hasil pada pertengahan Mac 2025 dengan pengeluaran dijangkakan antara tujuh tan hingga 10 metrik tan per lima ekar.

Perbincangan antara MARDI dengan Encik Shahrizal Denci.

Proses penanaman bermula dengan penanaman biji benih di batas selama 45 hari untuk menghasilkan anak benih yang matang sebelum dipindahkan ke ladang.

Hasil bebawang kemudiannya akan digunakan sebagai benih tambahan selain biji benih yang disediakan oleh MARDI.

Selama tinjauan projek pada 11 Februari 2025, Encik Shahrizal Denci dan Encik Hezzro Abe di Kampung Kirokot, Jalan Tambunan–Ranau telah menyatakan beberapa cabaran yang dihadapi termasuklah kebergantungan pada kaedah pertanian manual yang mempengaruhi keseluruhan proses dari penanaman sehingga penuaian.

Pegawai MARDI dan Encik Hezzro Abe di rumah pengeringan bawang merah.
Rumah pengeringan bawang merah yang diusahakan oleh Encik Hezzro Abe di Kampung Kirokot, Tambunan.

Para usahawan juga menghadapi kesulitan dalam mendapatkan pekerja yang setia dan komited sehinggakan membebankan operasi ladang mereka.

“Menemukan pekerja yang boleh diharap dan berdedikasi memang cabaran besar bagi kami,” tambah Encik Shahrizal Denci.

Di samping itu, mereka juga menekankan risiko persaingan harga dengan bawang import, serta kekurangan agensi pemasaran untuk produk lokal.

“Kami bersaing dengan harga bawang import yang lebih murah dan tanpa agensi pemasaran yang efektif, susah bagi kami untuk menembusi pasaran lebih luas,” jelas Encik Shahrizal Denci lagi.

Ladang bawang merah di Kampung Tanah Merah, Kundasang, Sabah.

Kunjungan ini turut dihadiri oleh pegawai dari Pusat Pemindahan Teknologi dan Pembangunan Usahawan MARDI yang diwakili oleh Encik Mohd Faiz Musa, Encik Abdullah Ajyad Ismail, Puan Dayangku Rosfinar Awangku Kadree serta wakil dari MARDI Negeri Sabah, Puan Yusmizawati Mohd Yusob, Encik Mohd Azmal Mohd Yasin, Encik Dusuki Abdul Rahman dan Encik Harizan Abdul Rahman.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi