Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Sebanyak 63 pelajar dari SMK (P) Sri Mutiara, Pulau Pinang telah mengadakan lawatan ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi memberikan pengalaman yang bermakna dan inspirasi untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK (P) Sri Mutiara, Puan Noor Zanariah menjelaskan bahawa program ini merupakan inisiatif pertama yang terjalin antara pihak sekolah dengan institusi pengajian tinggi, sekali gus membuka peluang untuk pelajar mengenali dunia akademik di universiti.
Lawatan ini memainkan peranan penting dalam membuka minda pelajar kepada peluang pendidikan tinggi yang tersedia di universiti yang pastinya memberikan pendedahan awal yang amat berharga serta menjadi pemangkin semangat mereka untuk terus berusaha.
“Inspirasi dan motivasi yang diperoleh membantu pelajar lebih berkeyakinan mengejar kecemerlangan akademik dan membina masa depan yang cerah,” ujar beliau.

Seorang pelajar, Zeti meluahkan rasa teruja kerana berpeluang mengenali USM dengan lebih dekat walaupun menetap di Pulau Pinang.
“Tinggal di Pulau Pinang tidak mengurangkan keterujaan saya terhadap lawatan ini. Pengalaman melawat USM amat menyeronokkan dan memberikan keyakinan baharu untuk mencapai cita-cita melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya dengan penuh semangat.
Guru pengiring SMK (P) Sri Mutiara, Puan Afizah turut melahirkan rasa syukur atas peluang yang diberikan oleh USM kepada pelajar sekolah tersebut.
Kesempatan yang diberikan oleh USM ini amat bermakna dan membolehkan pelajar kami menimba pengalaman berharga yang mampu menjadi pendorong semangat untuk belajar lebih tekun dan mencapai kejayaan yang cemerlang,” ujarnya penuh penghargaan.
Beliau menambah bahawa program ini bukan sahaja membantu pelajar memperluas pengetahuan, malah menjadi langkah awal yang penting untuk mereka merangka hala tuju masa depan dengan lebih terarah dan yakin.

Lawatan ini turut membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi masih relevan sebagai tempat menimba ilmu dan melahirkan individu yang berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.