Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 11:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur: Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-Care), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan seminar berkaitan dengan demensia yang bertajuk “Dementia Prevention And Timely Diagnosis” dengan matlamat merangka garis panduan dan protokol bagi pencegahan demensia di Malaysia.

Seminar ini disokong oleh The Academy of Medical Sciences, University of Wolverhampton dengan kehadiran 45 peserta secara fizikal dan 72 peserta secara dalam talian yang terdiri daripada pakar geriatrik dan profesional kesihatan daripada pelbagai disiplin.

Ucapan pembukaan disampaikan oleh ketua projek bersama bagi projek “An Interdisciplinary Research Network for Dementia”, Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam yang menekankan impak diagnosis demensia terhadap keluarga, penjaga dan pusat jagaan, khususnya sifat penyakit yang degeneratif dan progresif.

Profesor Madya Dr. Ponnusamy Subramaniam.

Sementara itu, Profesor Madya Jennifer Nyuk-Wo Lim dari University of Wolverhampton berkongsikan pengalaman peribadinya menjaga ibu yang menghidap demensia, sekali gus menekankan pentingnya akses kepada penjagaan kesihatan serta peranan sains tingkah laku dalam usaha pencegahan.

Ceramah oleh Profesor Tan Maw Pin dari Universiti Malaya pula memberikan tumpuan kepada perkhidmatan berkaitan demensia di Malaysia, termasuklah perkhidmatan berasaskan hospital dan komuniti serta penjagaan kesihatan dan sosial untuk warga emas.

Dalam ceramah seterusnya, Profesor Madya Dr. Ponnusamy mencadangkan penggunaan kerangka “NHS England Transformation Framework – The Well Pathway for Dementia” sebagai panduan untuk usaha pencegahan demensia yang lebih sistematik.

Sidang pleno keempat menyaksikan pembentangan oleh Profesor Pemakanan dan Dietetik dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar yang membincangkan hasil penyelidikan AGELESS Trial yang menunjukkan peningkatan kognitif, fizikal dan diet peserta intervensi.

Profesor Pemakanan dan Dietetik dan Dekan Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Profesor Dr. Suzana Shahar.

“Projek ini kini diperluaskan melalui inisiatif ABC AGELESS di beberapa pusat warga emas sekitar Klang,” jelasnya lagi.

Pensyarah di Program Fisioterapi, FFSK, UKM, Profesor Madya Dr. Devinder Kaur pula menegaskan keutamaan kesedaran awam serta kepentingan latihan multidisiplin dalam pencegahan demensia.

Beliau turut mencadangkan penerapan teknologi sebagai alat intervensi yang efektif.

Sementara itu, Dr. Ungku Ahmad Ameen dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerangkan cabaran dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Demensia Malaysia sambil menekankan keperluan memperkukuh dasar penjagaan kesihatan dan meningkatkan liputan rawatan.

Sesi pengalaman peribadi pula disampaikan oleh Puan Tejinderpal Kaur yang berkongsikan cabaran sebagai penjaga utama ibunya yang menghidap Alzheimer selain memberikan perspektif praktikal mengenai keperluan sokongan penjaga.

Pada sebelah petang, peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang memfokuskan kepada diagnosis tepat, pencegahan serta penjagaan serta sokongan dan membentangkan hasil perbincangan, mencetuskan idea baharu untuk memperkukuh usaha pencegahan dan penjagaan demensia.

Sesi perbincangan kumpulan.

Penganjuran seminar ini selaras dengan objektif Polisi Tindakan Demensia Malaysia 2023–2030 yang bertujuan memastikan penjagaan yang lebih menyeluruh dan efektif untuk penghidap demensia di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi