Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akademi Sains Malaysia (ASM) mempelawa calon yang berkelayakan untuk memohon Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) 2025.
Permohonan ini terbuka kepada pelajar ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang seperti fizik, kejuruteraan, sains pengkomputeran dan matematik dengan sekurang-kurangnya telah melengkapkan enam semester atau pengajian sepenuh masa pada peringkat universiti.
Program ini akan berlangsung selama lapan minggu antara bulan Jun 2025 hingga bulan September 2025.
Pemohon yang berjaya akan diberikan peluang untuk melibatkan diri secara aktif dalam operasi harian pasukan penyelidik yang menjalankan eksperimen di pusat kajian Pertubuhan Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) di Geneva, Switzerland.
Calon yang berminat diminta untuk menghantar permohonan mereka sebelum 26 Januari 2025, selewat-lewatnya pada jam 12.00 tengah malam (waktu Malaysia).
CERN yang ditubuhkan pada tahun 1954 mempunyai makmal yang terletak di sempadan antara negara Perancis dengan Switzerland yang berhampiran dengan Geneva.
CERN merupakan satu daripada usaha sama pertama Eropah dengan pertubuhan ini pada masa kini mempunyai 23 negara anggota.
CERN juga dikenali sebagai makmal fizik zarah kerana membuat pengkajian zarah terkecil di alam semesta.
CERN menggunakan beberapa peralatan yang paling canggih di dunia untuk melakukan tugasan ini seperti Large Hadron Collider (LHC).
Antara sumbangan terbesar CERN kepada masyarakat sejagat termasuklah World Wide Web yang diciptakan untuk membolehkan bilangan saintis yang semakin meningkat untuk berkongsi maklumat.
Permohonan dibuka melalui pautan ini atau dengan mengimbas kod QR dalam poster yang diiklankan oleh ASM.
Pemohon yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghantar e-mel kepada [email protected] atau menghubungi talian telefon 03-62030633 melalui sambungan 147.