Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Dietitian Jr @UKM 5.0, anjuran Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya memupuk minat kanak-kanak terhadap pemakanan sihat dan profesion ahli dietetik.
Bertemakan “Malnutrition Fighters: Dietitian Jr Power Up”, program ini melibatkan 50 kanak-kanak sekolah rendah yang menyertai aktiviti interaktif untuk memahami tentang pemakanan seimbang.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, program ini menjadi platform yang memperkenalkan peranan ahli dietetik kepada masyarakat, khususnya ibu bapa dan generasi muda.
Dalam siri kelimanya ini, Dietitian Jr @UKM terus mempromosikan gaya hidup sihat dengan menekankan kepentingan pemakanan dalam kehidupan harian.

Peserta berpeluang mengambil bahagian dalam sesi memasak yang menyeronokkan melalui penyediaan makanan berkhasiat secara praktikal.
Selain itu, aktiviti membeli-belah bahan makanan sihat di pasar raya memberikan pengalaman langsung kepada peserta tentang pemilihan bahan yang berkualiti.
Bagi meningkatkan pemahaman, peserta diperkenalkan kepada piramid makanan dan konsep Pinggan Sihat Malaysia sebagai panduan pemakanan seimbang.
Mereka juga diberikan pendedahan terhadap peranan ahli dietetik dalam perkhidmatan kesihatan melalui lawatan ke wad pesakit, sekali gus memberikan gambaran kepada peserta tentang tugas ahli dietetik dalam merancang diet yang sesuai untuk pesakit berdasarkan keperluan klinikal.
Sebagai rekod, sejak lima tahun lalu, lebih 200 kanak-kanak dari Kuala Lumpur dan Selangor telah menyertai program ini.
Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan kepada peserta, malah menggalakkan mereka menyebarkan ilmu pemakanan sihat kepada keluarga masing-masing.
Dietitian Jr @UKM 5.0 juga membuktikan komitmennya dalam memperkasakan pemahaman masyarakat tentang pemakanan melalui pendekatan yang inovatif dan menyeronokkan.