Diterbitkan pada 1 Januari 2025, 15:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Karnival STEM 2024 yang dianjurkan oleh Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang berjaya menarik minat pelajar sekolah menengah dari daerah Kuala Langat melalui pelbagai aktiviti interaktif. 

Demonstrasi blok elektronik oleh pelajar UiTM Shah Alam.

Antara aktiviti menarik yang diadakan untuk memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) termasuklah pertandingan membina model jambatan bertajuk STEMStruct: Crafting Bridges, Building Futures; demonstrasi penggunaan blok elektronik menerusi STEM4Fun: Exploring World of Engineering; dan ceramah dan pameran bertemakan Smart Solutions for Flood Risks: The Role of STEM yang memberikan kesedaran tentang pengurusan banjir kepada peserta.

Pada masa yang sama, aktiviti penanaman pokok dengan tema Glow-Up Environment: Growing for a Cleaner Future yang menyampaikan mesej penting tentang kelestarian alam sekitar; demonstrasi alat ukur kejuruteraan dalam Theovision: Navigating the World of Theodolites yang memberikan pendedahan teknologi kepada pelajar; serta program Clean Water, Bright Future: The Science of Water yang memperkenalkan cara membina sistem penapis air secara praktikal turut diadakan.

Demonstrasi alat ukur theodolite oleh pelajar UiTM dengan bimbingan Juruukur MPKL.

Wakil daripada River Care Associates Sdn. Bhd., Ts. Mohamad Afizi Jamadin menyatakan kekaguman terhadap kreativiti dan komitmen peserta program.

Menurut beliau, karnival ini bukan sahaja mencipta kesedaran tentang kepentingan STEM tetapi juga memupuk semangat kerjasama yang tinggi.

Sementara itu, guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Saujana Putra, Encik Rahmat Raziman Salihuddin turut memuji inisiatif ini.

Beliau menegaskan bahawa kolaborasi antara pendidikan tinggi dan sekolah mampu memberikan impak yang positif kepada komuniti setempat.

 

Penjurian bagi model jambatan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) dan River Care Associates Sdn. Bhd.
Penanaman pokok sebagai simbolik usaha penjagaan alam sekitar.

Karnival ini melibatkan sebanyak 30 pelajar UiTM sebagai fasilitator dengan bimbingan tiga pensyarah, iaitu Ir. Ts. Dr. Nuryazmeen Farhan Haron, Dr. Intan Shafeenar Ahmad Mohtar dan Dr. Noraini Mat Budari.

Kerjasama ini berjaya menyediakan platform pembelajaran bermakna untuk peserta membina kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan serta membuktikan komitmen UiTM Shah Alam dalam menyokong pembangunan masyarakat setempat selaras dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0.

Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) serta wakil daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, JKR daerah Kuala Langat, Pusat Kawalan SMART Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia dan Gadang Holdings. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi