Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menambah baik garis panduan pelaksanaan program pemasangan sistem solar di bumbung premis bangunan di bawah Program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM).
Menurut kenyataan PETRA semalam, penambahbaikan ini akan membolehkan lebih banyak ruang bumbung premis bangunan dimanfaatkan untuk pemasangan sistem solar fotovoltan (PV).
Usaha ini menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV di bumbung premis bangunan, selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen untuk pengurangan jejak karbon oleh pengguna NEM.
“Pengguna sedia ada dibenarkan untuk meningkatkan kapasiti pepasangan sistem solar sedia dan beralih kepada Program NEM yang sedang berkuat kuasa berdasarkan syarat dan garis panduan terbaharu. Program NEM akan dibuka untuk penyertaan pengguna elektrik kategori pertanian bagi manfaat daripada perasangan sistem solar PV disamping menyokong inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan negara,” menurut kenyataan rasmi PETRA.
Berikutan itu, kuota di bawah kategori NEM Rakyat akan ditingkatkan sebanyak 150MW kepada 600MW supaya lebih banyak pengguna domestik dapat memanfaatkan ruang bumbung bangunan untuk pemasangan sistem solar PV.
Selain itu, kuota di bawah kategori NEM NOVA untuk pengguna komersial dan industri juga akan ditambah sebanyak 300MW kepada 1700MW bagi menyokong usaha syarikat dan entiti korporat untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan pengguna kategori pertanian.
Kesemua kuota di bawah Program NEM ini adalah terbuka untuk permohonan oleh pengguna elektrik yang berminat sehingga 30 Jun 2025 atau sehingga kesemua kuota NEM habis diagihkan, yang mana terdahulu.
Pada masa sama, pemberian rebat pemasangan sistem solar sehingga RM4,000 kepada pengguna domestik dibawah Skim Insentif Solar Untuk Rakyat (SolaRIS) akan dilanjutkan sehingga 30 April 2025, tertakluk kepada terma dan syarat kelayakan SolaRIS yang telah ditetapkan.
Penambahbaikan ini bagi pelaksanaan Program NEM dan pelanjutan skim SolaRIS ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025.
“PETRA sentiasa komited untuk memastikan supaya pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu (TBB) menerusi program pemasangan sistem solar di bumbung bangunan akan dilaksanakan secara menyeluruh selain menyokong aspirasi peralihan tenaga negara untuk mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam perbekalan elektrik negara menjelang tahun 2050,” menurut kenyataan PETRA.