Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kadar taburan hujan di Pantai Timur adalah jauh daripada jangkaan, malah telah melebihi kadar hujan yang lazimnya diterima dalam tempoh enam bulan yang membawa banjir besar di negeri terbabit.
Tempoh selama lima hari dari 26 November hingga 30 November, terutamanya di Kelantan dan Terengganu telah menyebabkan bacaan di stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencecah lebih 1167 milimeter (mm), manakala berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), bacaan adalah pada kadar 1442 mm.
Perdana Menteri. Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, tempoh lima hari tersebut adalah rekod hujan yang terlalu tinggi, misalnya di Terengganu, METMalaysia telah merekodkan yang Besut menerima hujan sebanyak 1761 mm dalam tempoh lima hari.
Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan asal Yang Berhormat (YB) Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam soalan asal YB Dato’ Mumtaz Md Nawi meminta sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuklah Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, susulan banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara yang akan menempuh beberapa gelombang.
Perdana Menteri berkata, DRR diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan gerak kerja pada kali ini disifatkan beliau sangat memuaskan.
Selain itu kata beliau, Program Ramalan Dan Amaran Banjir (PRAB) juga canggih dengan sistem model ramalan banjir itu menggunakan pendekatan hidrodinamik dan simulasi banjir yang dihasilkan dengan gabungan pelbagai input, termasuklah data hidrologi dari stesen telemetri PRAB dan data ramalan hujan dari METMalaysia yang menggunakan model ramalan cuaca berangka dengan menggunakan teknologi satelit dan radar.