Diterbitkan pada 23 November 2024, 16:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – Penganjuran Karnival STEM + HIP On the Go peringkat negeri Pulau Pinang yang disambut meriah di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent 1, Butterworth pada hari ini merupakan satu daripada usaha untuk menanam minat terhadap pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta bahasa Inggeris dalam kalangan murid, guru dan komuniti sekolah.

Karnival yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hingga 2.00 petang itu disertai oleh 15 buah sekolah dari lima daerah di negeri ini dengan pelibatan sebanyak 350 orang murid.

Sejajar dengan matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membudayakan bahasa Inggeris dan memperkukuh penguasaan STEM, karnival yang diadakan tersebut bertujuan untuk memupuk daya saing murid yang tinggi dalam bidang yang mencabar dan di luar kebiasaan.

“Pulau Pinang membuka peluang yang luas dalam pendidikan STEM dan kerjaya berkaitan dengan STEM bagi membolehkan generasi muda mempunyai jaminan masa hadapan yang cerah dalam pelbagai bidang pekerjaan berasaskan teknologi dan inovasi,” kata Timbalan Ketua Menteri Dua Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh ketika merasmikan karnival berkenaan.

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh ketika berucap dalam Majlis Perasmian Karnival “STEM + HIP On the Go” di SK Convent 1, Butterworth.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Tuan Haji Wani Sajiri Wan Hassan dalam ucapannya memberikan penekanan terhadap penguasaan pelbagai bahasa, khususnya bahasa Inggeris sebagai persediaan untuk mendepani cabaran dunia global.

Ujar beliau,

Gabungan karnival STEM dan Highly Immersive Programme (HIP) adalah relevan dengan keperluan semasa dan mampu meningkatkan penguasaan murid dalam kedua-dua bidang ini.

Tuan Haji Wani Sajiri Wan Hassan menekankan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dan STEM dalam ucapannya.

Seterusnya, Pengerusi Karnival STEM + HIP On the Go merangkap Guru Besar SK Convent 1, Butterworth, Puan Za’imah Idris menyatakan bahawa bidang STEM dan HIP merupakan landasan yang penting untuk mempersiapkan murid bagi menghadapi cabaran pada masa hadapan, sekali gus membuka ruang kepada murid untuk menonjolkan bakat dan potensi yang dimiliki oleh mereka.

Puan Za’imah Idris mendorong murid untuk menguasai bidang STEM dan HIP untuk menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Selaku Penyelaras Program STEM + HIP On the Go, Puan Siti Hajar Zainuddin memberikan penghargaan kepada sekolah yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan dengan penuh komitmen.

Katanya,

Penyertaan yang menggalakkan dari 15 buah sekolah di Pulau Pinang telah membuktikan kesungguhan dalam mempromosikan pendidikan STEM untuk generasi muda dengan pelibatan murid dalam pelbagai pertandingan seperti Action Song, Translation Mode, STEM Challenge dan Golden Hands Go Green yang berupaya menonjolkan bakat murid.

Puan Siti Hajar Zainuddin (tengah) bersama-sama hakim pertandingan Action Songs, YBrs. Dr. Soraya Lin (kiri) dan YBrs. Dr. Nagesvari (kanan).

Antara sekolah yang mengambil bahagian dalam karnival berkenaan termasuklah SK Bagan Jermal; SK Convent 1; SK Pokok Tampang; SK Pokok Sena; SK St. Mark (M); SK Sungai Nyior; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mak Mandin; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa 2; SK Seri Penanti; SK Taman Impian; SK Sungai Kechil; SK Bandar Tasek Mutiara; SK Hutchings; SK Minden Height dan SK Bayan Lepas.

YB Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh bersama-sama para peserta yang terlibat dalam Karnival “STEM + HIP On the Go”.
Pertandingan Golden Hands Go Green menguji minda tentang sains dan kreativiti murid.
Hakim Karnival STEM + HIP On the Go, YBrs. Dr. Nurul Sabihah dan Puan Siti Suria Shafie ketika menilai kebolehan murid menjelaskan projek yang dihasilkan dalam bahasa Inggeris.
Pertandingan Transalation Mode menguji kecekapan murid untuk menterjemahkan tugasan yang diberikan secara spontan.
Pertandingan Action Song memperlihat kehebatan murid dari sudut sains, sastera dan persembahan.

Reruai STEM yang terdapat di karnival tersebut memaparkan inovasi teknologi seperti percubaan sains mudah telah membuka minda murid untuk memahami aplikasi STEM dalam kehidupan seharian.

Selain itu, sudut bahasa Inggeris juga menyediakan permainan interaktif yang menguji kreativiti dan kemahiran berbahasa murid dalam suasana yang santai.

Secara keseluruhannya, karnival yang dianjurkan bukan sahaja berjaya memupuk minat murid terhadap STEM, malah menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris secara meluas, sekali gus mencerminkan usaha bersepadu pihak sekolah dan komuniti dalam mendidik generasi muda untuk menjadi lebih kompetitif pada peringkat global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi