Diterbitkan pada 19 November 2024, 14:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Negeri Sembilan – Bersempena dengan Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival yang dianjurkan oleh Jabatan Sains, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, pensyarah, klinisian dan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil peluang menyertai pameran untuk memperkenalkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada pelajar di sekolah berkenaan.

Pameran tersebut bertujuan untuk memperkenalkan dan menarik minat 497 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat MRSM Kuala Klawang untuk mempelajari dan mengamalkan STEM dalam pembelajaran serta kehidupan seharian.

Antara 497 orang pelajar MRSM Kuala Klawang yang menjayakan Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival.

Menurut guru di MRSM Kuala Klawang, Encik Muhammad Khairil Ezman, Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival merupakan aktiviti tahunan yang diadakan di MRSM Kuala Klawang untuk menarik minat pelajar bagi memahami kepentingan ilmu pengetahuan, terutamanya yang melibatkan sains dan mengaplikasikan sains dalam kehidupan seharian.

Tambah beliau,

Kini, banyak pelajar yang lebih tertarik untuk menceburi bidang yang melibatkan media sosial seperti menjadi pempengaruh dan penggiat YouTube yang hanya memerlukan kekreatifan dalam menyediakan bahan untuk dimuat naik dalam media sosial seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.

Katanya,

Program yang diadakan diharapkan akan memberikan impak yang besar dalam membangkitkan semula kesedaran dalam kalangan para pelajar bahawa ilmu pengetahuan dan inovasi dalam sains adalah penting demi menjamin masa hadapan yang lebih cemerlang.

Beliau juga menekankan bahawa ilmu pengetahuan juga penting sekiranya pelajar ingin menjadi pempengaruh agar dapat menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat menerusi media sosial.

Sementara itu, YBrs. Dr. Rukiah A. Latiff selaku Penyelaras Promosi FSK, UKM menzahirkan keterujaan beliau kerana dapat bersama-sama menyertai pameran tersebut dan memperkenalkan 11 program yang terdapat di FSK UKM kepada para pelajar.

Ujar beliau,

Program ini diharapkan dapat dilestarikan ke semua MRSM di Malaysia dan mampu meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang sains kesihatan di FSK, UKM.

YBrs. Dr. Rukiah A. Latiff menyampaikan cenderamata kepada Ketua Jabatan Sains, MRSM Kuala Klawang, Encik Mohd Khairul Anuwar.

Jabatan Sains, MRSM Kuala Klawang sangat komited dalam menyediakan pelajar bumiputera yang berpotensi dalam bidang STEM dan Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival yang dianjurkan ini merupakan satu daripada inisiatif untuk mencapai matlamat tersebut.

Reruai Program Sains Forensik yang memperkenalkan cara pengambilan cap jari pendam dalam siasatan di tempat kejadian jenayah.
Reruai Program Dietetik yang memberikan maklumat berkenaan dengan makanan secara sihat dan seimbang, terutamanya konsep suku-suku-separuh.
Reruai Program Sains Pemakanan yang memperkenalkan konsep piramid makanan dalam pengambilan diet seharian kepada para pelajar.
Reruai Program Sains Bioperubatan menunjukkan kepentingan perubatan, diagnostik dan makmal serta ilmu pengetahuan kesihatan kepada para pelajar.
Reruai Program Audiologi yang memperkenalkan kepentingan pendengaran dan penyakit yang berkaitan dengan gangguan pendengaran.
Reruai Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi berkongsikan kepentingan sinaran X-ray kepada para pelajar.
Reruai Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri yang memberikan maklumat mengenai cara untuk meningkatkan taraf kesihatan masyarakat dan keselamatan pekerja melalui peningkatan kualiti persekitaran yang sihat dan selamat.
Reruai Program Sains Pertuturan yang menarik minat pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang masalah komunikasi yang boleh dialami oleh seseorang pesakit.
Reruai Program Terapi Cara Kerja yang memperkenalkan cara untuk mengekalkan dan mengembalikan produktiviti dalam pelbagai bidang cara kerja dalam kalangan individu yang terkesan akibat kurang upaya, kecederaan, penyakit kronik atau gangguan kognitif.
Klinisian dari Program Optometri dan Sains Penglihatan, Puan Norlaili (kanan) berkongsikan maklumat mengenai penggunaan kanta lekap dan masalah berkaitan dengan penglihatan kepada para pelajar.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi