Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNegeri Sembilan – Bersempena dengan Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival yang dianjurkan oleh Jabatan Sains, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, pensyarah, klinisian dan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil peluang menyertai pameran untuk memperkenalkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada pelajar di sekolah berkenaan.
Pameran tersebut bertujuan untuk memperkenalkan dan menarik minat 497 pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat MRSM Kuala Klawang untuk mempelajari dan mengamalkan STEM dalam pembelajaran serta kehidupan seharian.

Menurut guru di MRSM Kuala Klawang, Encik Muhammad Khairil Ezman, Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival merupakan aktiviti tahunan yang diadakan di MRSM Kuala Klawang untuk menarik minat pelajar bagi memahami kepentingan ilmu pengetahuan, terutamanya yang melibatkan sains dan mengaplikasikan sains dalam kehidupan seharian.
Tambah beliau,
Kini, banyak pelajar yang lebih tertarik untuk menceburi bidang yang melibatkan media sosial seperti menjadi pempengaruh dan penggiat YouTube yang hanya memerlukan kekreatifan dalam menyediakan bahan untuk dimuat naik dalam media sosial seperti TikTok, Instagram dan sebagainya.
Katanya,
Program yang diadakan diharapkan akan memberikan impak yang besar dalam membangkitkan semula kesedaran dalam kalangan para pelajar bahawa ilmu pengetahuan dan inovasi dalam sains adalah penting demi menjamin masa hadapan yang lebih cemerlang.
Beliau juga menekankan bahawa ilmu pengetahuan juga penting sekiranya pelajar ingin menjadi pempengaruh agar dapat menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat menerusi media sosial.
Sementara itu, YBrs. Dr. Rukiah A. Latiff selaku Penyelaras Promosi FSK, UKM menzahirkan keterujaan beliau kerana dapat bersama-sama menyertai pameran tersebut dan memperkenalkan 11 program yang terdapat di FSK UKM kepada para pelajar.
Ujar beliau,
Program ini diharapkan dapat dilestarikan ke semua MRSM di Malaysia dan mampu meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang sains kesihatan di FSK, UKM.

Jabatan Sains, MRSM Kuala Klawang sangat komited dalam menyediakan pelajar bumiputera yang berpotensi dalam bidang STEM dan Sambutan Minggu STEM Ideation Carnival yang dianjurkan ini merupakan satu daripada inisiatif untuk mencapai matlamat tersebut.









