Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPuncak Alam – Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakuti Sains kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dengan kerjasama Pantai Integrated Rehab (PIR) telah mengadakan satu program tanggungjawab sosial universiti (USR) untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan senaman antenatal dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan mental ibu hamil sepanjang tempoh kehamilan.
Program yang bertemakan “Senaman Antenatal: Kesihatan dan Kesejahteraan Ibu Hamil” itu disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada ibu hamil dan pasangan masing-masing.
Menurut penasihat program tersebut, YBrs. Dr. Nur Farhana Md Yunus, program ini adalah sebahagian daripada inisiatif USR yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak universiti dengan komuniti setempat.

Ujar beliau,
Sebagai institusi pengajian tinggi, kami ingin berkongsikan pengetahuan dan kepakaran kami dalam bidang fisioterapi untuk dimanfaatkan oleh masyarakat, sekali gus memindahkan ilmu yang berkaitan kepada ibu hamil.
Dalam program berkenaan, para peserta diberikan pendedahan tentang pelbagai jenis senaman yang selamat dan mudah dilakukan serta membantu mengurangkan ketidakselesaan fizikal seperti sakit pinggang, kekejangan kaki dan masalah postur yang sering dialami oleh ibu hamil.
Selain sesi senaman, ceramah kesihatan yang membincangkan topik seperti manfaat senaman antenatal, senaman Kegel, pemakanan semasa hamil, laktasi, urutan bayi dan persediaan bersalin turut diadakan yang disampaikan oleh Pakar Fisioterapi dari Hospital Pantai, Kuala Lumpur dan alumni fisioterapi dari hospital UiTM, pusat fisioterapi swasta serta kaunselor berdaftar.

Sementara itu, Pengarah program berkenaan, Puan Rozita Hani Mohd Haris berkata, senaman antenatal memainkan peranan yang penting dalam membantu ibu hamil agar kekal sihat dan aktif sepanjang kehamilan.
Katanya,
Senaman antenatal dapat menguatkan otot, memperbaik peredaran darah, membantu ibu hamil bersedia untuk melahirkan anak dengan lebih baik dan senaman yang dilakukan secara teratur dapat mengurangkan risiko komplikasi semasa melahirkan anak, sekali gus membantu pemulihan dengan lebih cepat selepas bersalin.
Program ini merangkumi sesi senaman ringan yang direka khusus untuk ibu hamil seperti senaman regangan otot, senaman mobiliti serta senaman untuk menguatkan otot.
Para peserta turut diajar mengenai teknik pernafasan yang boleh membantu mereka mengatasi kesakitan semasa proses kelahiran.
Solihah Abdullah, salah seorang peserta program tersebut menyatakan bahawa program ini sangat membantu dirinya untuk mengetahui ilmu tentang senaman antenatal.
Kata beliau,
Latihan senaman semasa program ini telah memberikan pendedahan kepada saya tentang cara yang betul untuk melakukan senaman antenatal, sekali gus membantu ibu hamil untuk kekal aktif, bertenaga dan memudahkan proses bersalin.
Seorang lagi peserta program, Khor Shu Vien berkata, program yang dianjurkan ini sememangnya memberikan manfaat kepada dirinya dan suaminya, lebih-lebih lagi beliau sedang hamil anak pertama.
Beliau yang pertama kali mendengar akan kepentingan otot lantai pelvis dan cara senamannya menyatakan bahawa program berkenaan amat berguna kerana memberikan pengetahuan awal kepada ibu hamil untuk mengetahui situasi mereka sebelum melakukan senaman yang berkaitan.
Sambutan positif yang diterima daripada komuniti mendorong Pusat Pengajian Fisioterapi, FSK, UiTM Puncak Alam untuk memperluas program ini ke kawasan lain di seluruh Selangor serta merancang untuk mengadakan program susulan bagi membantu wanita selepas melahirkan anak, khususnya dalam pemulihan fizikal dan sokongan emosi.
