Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCheras – Dalam usaha meningkatkan kefahaman dan pengetahuan tentang impak kecederaan otak traumatik dan perkhidmatan pemulihan pesakit yang melibatkan pelbagai profesion kesihatan, program “Navigating Traumatic Brain Injury: A Comprehensive Seminar for Professionals and Caregivers” telah diadakan di Auditorium Hospital Rehabilitasi Cheras selama dua hari, bermula pada 25 September 2024 hingga 26 September 2024.
Seminar yang dianjurkan oleh tiga entiti tempatan, iaitu Unit Terapi Pertuturan Hospital Rehabilitasi Cheras, Program Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Unit Terapi Pertuturan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM itu disertai oleh 187 orang peserta yang terdiri daripada ahli kesihatan dan perubatan serta para penjaga.

Menurut pengarah program seminar tersebut, Puan Fairus Mukhtar, program tersebut amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan pemulihan perubatan, khususnya bagi individu yang mengalami kecederaan otak traumatik dan keluarga mereka.
Ujar beliau,
Pesakit dewasa yang mengalami kecederaan otak traumatik memerlukan sokongan daripada pelbagai profesion kesihatan dan perubatan.
Beliau berkata, program ini mengumpulkan ahli profesional yang berkaitan dengan rehabilitasi kecederaan otak traumatik untuk berkongsikan kepakaran masing-masing dengan para peserta.
Jelasnya, kecederaan otak traumatik adalah disebabkan oleh trauma di bahagian kepala yang sering berlaku akibat kemalangan jalan raya, pukulan kuat di kepala, hantukan kepala yang berlaku apabila seseorang terjatuh serta tembakan dan letupan bom yang menyebabkan kerosakan saraf otak.
Individu yang mengalami kecederaan otak traumatik biasanya menghadapi gangguan fungsi otak yang memproses maklumat deria, menghasilkan pergerakan motor serta keupayaan mental, termasuklah pemikiran, komunikasi, ingatan, tumpuan dan emosi.
Tambah beliau, kehilangan fungsi otak yang efektif berikutan kecederaan otak traumatik sering memberikan kesan negatif dalam kehidupan seperti kehilangan pekerjaan dan peluang untuk melanjutkan pelajaran, kehilangan identiti dan keyakinan diri, peningkatan kebergantungan pada penjaga dan gangguan kesihatan mental.
Perubahan yang besar dalam kehidupan individu yang mengalami kecederaan otak traumatik juga mengakibatkan kualiti kehidupannya dan ahli keluarganya terjejas.
Program yang dirasmikan oleh Pengarah Hospital Rehabilitasi Cheras, YBrs. Dr. Faizul Nizam Abu Salim dimulakan dengan siri ceramah oleh pakar perubatan dan ahli kesihatan dari pelbagai disiplin, termasuklah audiologi, fisioterapi, kejururawatan, optometri, psikologi, terapi cara kerja dan terapi pertuturan–bahasa.

Semasa seminar itu berlangsung, seorang pejuang kecederaan otak traumatik dan ibunya juga berkesempatan berkongsikan pengalaman mereka dalam menghadapi cabaran sepanjang proses pemulihan.
