Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kajian data dan penilaian terkini daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkan Malaysia terpaksa menanggung sebanyak RM64 bilion meliputi kos secara langsung dan tidak langsung untuk mengurus penyakit tidak berjangkit di mana hal tersebut menjadi cabaran dan beban besar kepada negara.
Demikian ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad ketika menyampaikan ucapan perasmiannya dalam Majlis Pelancaran Putrajaya Sihat Sejahtera bersempena Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera Peringkat Putrajaya 2024 di Dataran Wawasan, Presint 2, semalam.
YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata,
Kerajaan sebenarnya berbelanja lebih RM10 bilion dalam setahun untuk merawat penyakit tidak berjangkit yang mana dianggap sebagai pandemik yang lebih berbahaya berbanding penyakit berjangkit seperti COVID-19 kerana penyakit tersebut merupakan pandemik jangka panjang dan sentiasa ada.
Justeru, masyarakat perlu bercakap tentang pandemik penyakit kronik kerana penyakit tersebut berkait langsung dengan persoalan produktiviti tenaga kerja negara seperti ketidakhadiran (absenteeism) atau hadir tapi tidak mencapai produktiviti kerja yang terbaik (presenteeism).
Ujar beliau lagi,
Kita meletakkan tumpuan Putrajaya Sihat Sejahtera sebagai kempen pertama di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) kerana Putrajaya menempatkan kebanyakan penjawat awam kira-kira 90 peratus.

Beliau menegaskan tentang kepentingan literasi dan pengetahuan kesihatan untuk berhadapan dengan suasana yang sangat membimbangkan di mana 6 daripada 10 orang yang berumur bawah 18 tahun tidak mengetahui mereka mengalami kencing manis serta tekanan darah tinggi dan akhirnya mereka mati pada usia muda.
Tambah beliau, gaya hidup sihat turut memerlukan masyarakat untuk meninggalkan tabiat rokok dan vape kerana bukan sahaja membahayakan nyawa perokok tetapi perokok pasif akibat terdedah kepada toksid rokok, malah beban kos untuk merawat penyakit berkaitan merokok seperti sakit jantung, kanser dan seumpamanya dianggarkan RM6 bilion.
Selain itu, mulai 1 Oktober 2024, kerajaan akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) di seluruh negara melalui perancangan yang terbaik seperti pendidikan dan penerangan secara mendalam supaya pelaksanaannya dapat dilakukan dengan cermat untuk mencapai hasil yang terbaik.
Beliau turut berpesan kepada orang ramai untuk sentiasa membudayakan hidup sihat dan aktif serta mengelakkan gaya hidup yang tidak banyak bergerak kerana pergerakan amat penting untuk daya tahan dan imuniti tubuh.
Di samping itu, beliau menegaskan sesuatu yang mustahak untuk mencipta persekitaran yang sihat dan sejahtera daripada ancaman denggi dengan meluangkan masa 10 minit seminggu menerusi kegiatan search and destroy (cari dan musnah) sebagai rutin untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.
Sementara itu, program Putrajaya Sihat Sejahtera merupakan inisiatif baharu di bawah Jawatankuasa Kabinet ANMS untuk menfokuskan pembudayaan hidup sihat dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya yang merangkumi tingkah laku hidup aktif, pemakanan sihat, makanan selamat, kebersihan persekitaran, saringan kesihatan, intervensi kesihatan dan pengiktirafan dengan objektif untuk menigkatkan tahap literasi kesihatan dan amalan hidup sihat di tempat kerja.
Majlis perasmian tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg. Datuk Dr. Norhayati Rusli dan pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan.