Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHutan hujan tropika merupakan hutan semula jadi yang unik, mempunyai pelbagai ekosistem yang kompleks dan menjadi habitat bagi pelbagai jenis tumbuhan-tumbuhan semula jadi serta hidupan liar. Kawasan hutan hujan tropika juga meliputi kawasan hutan tanah pamah, hutan bukit, termasuklah cerun dan lembah gunung-ganang di Semenanjung Malaysia dan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Hutan semula jadi di negara ini mempunyai keunikan dan keindahan pemandangan yang memenuhi keperluan rekreasi dan ekopelancongan. Penubuhan Taman Eko Rimba di dalam kawasan hutan simpan adalah selaras dengan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992), iaitu untuk mengekalkan sejumlah kawasan yang mencukupi sebagai tempat rekreasi, ekopelancongan dan memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang perhutanan.
Taman Eko Rimba atau hutan rekreasi yang mempunyai daya tarikan dan keaslian semula jadi dapat memberikan ketenteraman fikiran, ketenangan dalam diri, menimbulkan rasa keseronokan serta dapat menghindarkan kebisingan daripada keadaan sekeliling.
Hutan Lipur Chemerong merupakan satu daripada hutan rekreasi yang terletak di bahagian timur Semenanjung Malaysia di Terengganu. Hutan rekreasi ini terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Pasir Raja di daerah Dungun. Jarak lokasi Hutan Lipur Chemerong adalah kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuala Terengganu dan 30 kilometer dari bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Hutan Lipur Chemerong popular dalam kalangan pencinta alam semula jadi kerana di hutan itu terdapat air terjun menegak yang tertinggi di Malaysia, iaitu Air Terjun Chemerong dengan ketinggian hingga 305 meter. Kawasan ini juga disenaraikan antara 10 air terjun yang tertinggi di Asia Tenggara. Pemandangan air terjun yang sangat indah dan mendamaikan serta air sungai yang jernih dan memiliki kolam semula jadi yang sesuai untuk mandi-manda menjadikan lokasi ini sering menjadi pilihan bagi aktiviti riadah dan rekreasi pada hujung minggu atau cuti umum.
Selain itu, kawasan ini juga merupakan antara pilihan bagi peminat sukan lasak rekreasi kerana terdapat laluan pendaki untuk ke puncak Gunung Berembun dengan ketinggian hingga 1108 meter dari aras laut. Individu yang gemar mendaki dan merentas hutan boleh mendaki ke kawasan yang lebih tinggi yang tidak banyak pengunjung untuk mendapatkan pemandangan yang lebih cantik dan kawasan air terjun yang lebih bersih.

Kawasan Hutan Lipur Chemerong berada di bawah pengurusan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Kawasan ini sentiasa diselenggara dengan baik dan berada dalam keadaan bersih dan selamat bagi memastikan keselesaan dan keselamatan para pengunjung. Terdapat pelbagai kemudahan lain yang turut disediakan seperti surau, wakaf, bangku rehat, tandas, tempat letak kereta, dewan serba guna, tapak perkhemahan dan sebagainya.
Pada tahun 2023, satu kerja lapangan telah dijalankan oleh pasukan penyelidik tumbuhan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bersama-sama kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT) ke kawasan Hutan Lipur Chemerong untuk mencari spesies tumbuhan tertentu yang sedang dalam kajian dan semakan taksonomi serta pemuliharaan ex situ. Kajian selama tiga hari itu dijalankan di kawasan hutan dipterokarpa tanah pamah dan kawasan hutan dipterokarpa bukit. Di samping itu, penyelidik juga memberikan fokus kepada pengutipan koleksi tumbuhan jenis renek yang terdapat di sekitar kawasan kajian.

Antara tumbuhan jenis renek yang ditemukan di kawasan rendah tanah pamah termasuklah tumbuhan daripada famili Begoniaceae atau dikenali sebagai asam batu, iaitu Begonia rajah, tumbuhan endemik di Semenanjung Malaysia yang hanya ditemukan di Terengganu. Populasi spesies ini ditemukan hidup subur pada permukaan batu di kawasan lembap berhampiran dengan sungai. Berdasarkan risalah penyelidikan Malaysia Red List–Plants of Peninsular Malaysia, status pemuliharaan bagi Begonia rajah adalah terancam di bawah kategori mudah terancam.

Tumbuhan lain yang turut direkodkan ialah tumbuhan daripada famili Gesneriaceae yang telah dikenal pasti sebagai Codonoboea crinita, Codonoboea puncticulata dan Codonoboea rugosa. Status pemuliharaan bagi Codonoboea puncticulata ialah hampir terancam, manakala dua lagi spesies Codonoboea masih belum dinilai status pemuliharaannya.


Di samping itu, terdapat juga tumbuhan unik seperti spesies Thismia atau fairy lantern daripada kategori tumbuhan berbunga (angiosperma) kecil yang tumbuh di kawasan lantai hutan belantara. Spesies Thismia daripada famili Thismiaceae tidak menjalankan fotosintesis, tetapi mengamalkan hubungan simbiosis dengan kulat yang membekalkan makanan bagi tujuan kitaran hidup.
Pada kebiasaannya, Thismia boleh ditemukan ketika musim monsun atau musim hujan. Terdapat dua spesies yang dijumpai di dalam kawasan Hutan Lipur Chemerong ketika kajian dijalankan, iaitu Thismia aseroe dan Thismia sp.
Thismia aseroe ialah spesies yang asalnya ditemukan di Singapura dan mempunyai taburan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, namun penemuannya di Hutan Lipur Chemerong adalah pertama kali direkodkan. Thismia sp. pula dijumpai di dalam kawasan hutan dipterokarpa bukit yang dipercayai sebagai spesies baharu.


Penemuan lain yang menarik ialah spesies tumbuhan jenis karnivor, iaitu sejenis tumbuhan yang memerangkap haiwan kecil atau serangga bagi mendapatkan nutrien melalui proses pencernaan mangsa yang terperangkap bagi membolehkan tumbuhan karnivor terus hidup dan membesar. Antara tumbuhan jenis ini yang ditemukan adalah terdiri daripada famili Nepenthaceae atau dipanggil periuk kera. Terdapat tiga jenis spesies kumpulan periuk kera yang ditemukan di dalam Hutan Lipur Chemerong, iaitu Nepenthes ampullaria, Nepenthes domei dan Nepenthes rafflesiana.


Seterusnya, tumbuhan lain yang turut direkodkan adalah terdiri daripada famili Zingiberaceae atau halia seperti Amomum sp., Globba unifolia dan Scaphochlamys breviscapa. Terdapat juga tumbuhan jenis pemanjat atau penumpang seperti Aeschynanthus wallichii yang tumbuh di kawasan lembap tropika serta mempunyai taburan yang meluas dari kawasan Malaya hingga Sumatera.
Spesies lain yang turut dijumpai dan didokumentasikan semasa kajian dijalankan ialah Euthemis leucocarpa, Lisianthus sp. dan Pentasacme caudatum. Spesis Euthemis leucocarpa dipercayai mempunyai nilai dalam perubatan. Menurut perubatan tradisional Cina, spesies ini digunakan untuk merawat demam dan mengurangkan keradangan.






Selain tumbuhan jenis renek, tumbuhan jenis berkayu yang berbunga atau berbuah turut dikutip semasa kerja lapangan dijalankan. Satu daripada penemuan yang menarik ialah spesies durian atau nama saintifiknya, Durio malaccensis. Taburan spesies ini ditemukan secara meluas di Semenanjung Malaysia termasuklah di Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor dan Pahang. Tumbuhan ini juga dijumpai di Sumatera dan Myanmar.
Nama tempatan bagi spesies ini dikenali sebagai durian batang, durian daun atau durian tong. Tidak seperti jenis durian lain yang berbunga atau berbuah pada bahagian dahan besar, Durio malaccensis mengeluarkan bunga atau buah pada bahagian batang utama atau pangkal batangnya. Pada kebiasaannya, spesies ini ditemukan di hutan tanah pamah atau di permatang dan lereng bukit hingga 1000 meter dari aras laut. Kayu pokok ini digunakan untuk pembuatan perabot, kabinet, lantai dan pembinaan kapal.

Sebagai kesimpulannya, kawasan Hutan Lipur Chemerong mempunyai keunikan yang tersendiri selain kaya dengan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem. Kawasan ini menjadi kawasan tadahan air yang penting dan berperanan dalam memberikan perkhidmatan ekosistem kepada masyarakat melalui bekalan sumber air bersih, membantu mengawal hakisan dan banjir, pemeliharaan kepelbagaian biologi, penyimpanan karbon, meningkatkan kualiti alam sekitar dan memberikan pulangan dalam sektor pelancongan.
Pada masa yang sama, hutan rekreasi yang kaya dengan flora dan fauna ini juga memberikan ilmu pengetahuan di luar bilik darjah kepada anak-anak selain menjamin gaya hidup sihat keluarga dengan menjalankan aktiviti rekreasi atau riadah di kawasan ini. Melalui aktiviti sihat, seseorang itu berupaya meningkatkan prestasi menerusi pembebasan fikiran daripada tekanan kesibukan tugas harian dan persekitaran yang tidak tenteram, terutamanya di kawasan bandar besar.
Selain itu, hutan rekreasi juga dapat mewujudkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya mengekalkan keaslian alam sekitar, khususnya hutan supaya terpelihara demi kesejahteraan kehidupan masyarakat. Oleh itu, sumber hutan perlu diuruskan secara lestari, dipulihara secara cekap dan digunakan secara bertanggungjawab demi kepentingan generasi masa hadapan. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap spesies flora atau fauna yang wujud memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekosistem. Jika berlaku kepupusan spesies atau kekurangan kepelbagaian hidupan ini, maka kestabilan dalam ekosistem turut terjejas.
Suhaida Mustafa, Siti Munirah Mat Yunoh dan Syahida Emiza Suhaimi, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.