Diterbitkan pada 25 September 2024, 17:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Serdang – Pasukan dari Sekolah Menengah (SM) Swasta St. Joseph, Sarawak dinobatkan sebagai johan Pertandingan National Science Challenge (NSC) 2024 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya berkata, pengukuhan pembelajaran formal di sekolah melalui aktiviti pembelajaran tidak formal seperti pertandingan NSC ini perlu dilihat sebagai satu daripada kaedah utama yang dapat membantu membentuk minat para pelajar yang mendalam kepada subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ujar beliau,

Penubuhan Jawatankuasa Pemandu Bakat STI Negara yang dianggotai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu dilihat sebagai sebuah platform untuk mengorak strategi pendidikan dan bakat yang menyeluruh dengan mengambil kira keperluan pelajar dari peringkat awal hingga peringkat yang lebih tinggi.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan syabas kepada Akademi Sains Malaysia (ASM) atas tindakan pantas menyahut cabaran kerajaan untuk melibatkan para saintis di sekolah dengan pengenalan program STI 100 to the Power of Three (STI 100³).

Sebagai johan pertandingan, SM Swasta St. Joseph, Sarawak telah berjaya membawa pulang Piala Pusingan YAB Perdana Menteri, lawatan sambil belajar ke luar negara, biasiswa pendidikan, sijil penyertaan dan gajet.

Naib johan pertandingan NSC 2024 telah dimenangi oleh pasukan dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi, Kedah, manakala tempat ketiga disandang oleh pasukan dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Johor.

Sementara itu, pasukan dari MRSM Gerik, Perak memenangi tempat keempat dan tempat kelima disandang oleh pasukan dari SMK Jit Sin, Pulau Pinang.

Pemenang pada tempat kedua hingga tempat kelima dalam pertandingan NSC tersebut masing-masing akan menerima biasiswa pendidikan, sijil penyertaan dan gajet.

Anugerah Komunikator STEM Terbaik pula telah dimenangi oleh Chuah Yee Jia dari pasukan SMK Sultan Ismail, Johor, manakala Joanne Lim Yii Jun dari SMK Bintulu, Sarawak diumumkan sebagai peserta terbaik pada peringkat awal pertandingan berkenaan.

Pertandingan NSC anjuran ASM adalah terbuka kepada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan empat sekolah menengah awam, swasta dan antarabangsa di seluruh Malaysia.

Pertandingan NSC memberikan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan pengetahuan saintifik dengan kandungan dan aktiviti menarik, sekali gus mengasah kemahiran komunikasi, semangat kerja berpasukan dan membina pemikiran yang kritis.

Secara keseluruhannya, NSC 2024 yang bertemakan “Memacu Era Transformasi Digital: Merintis Inovasi dan Penyelesaian Mampan” telah berjaya mengumpulkan sebanyak 9689 pasukan yang melibatkan 29 067 orang pelajar dari seluruh negara.

NSC 2024 mendapat sokongan daripada rakan kongsi strategik, iaitu KPM, Universiti Putra Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Sasbadi Online Sdn. Bhd. dan Young Scientists Network–Akademi Sains Malaysia.

Kredit Foto: Akademi Sains Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi