Diterbitkan pada 26 September 2024, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bahru – Dalam usaha meningkatkan kefahaman dan memperkukuh daya tahan sektor makanan negara, seiring dengan cabaran yang dihadapi akibat perubahan iklim, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Seminar Keselamatan Makanan 2024 kali ke-11 di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.

Seminar tersebut membincangkan pelbagai topik berkaitan dengan keselamatan makanan, pengurusan kualiti, aspek halal, undang-undang, teknologi pemprosesan dan analisis serta masa hadapan industri makanan.

Program yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan ini merupakan hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Jabatan Kemajuan Islam Malaysia; Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia; Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Farm Fresh Milk Sdn. Bhd.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan dalam ucapannya berkata, kombinasi teknologi nuklear, dasar yang kukuh dan inovasi dalam pertanian ialah kunci untuk mencapai kelestarian makanan walaupun berada dalam cabaran perubahan iklim yang semakin kritikal.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika berucap dalam Seminar Keselamatan Makanan 2024 di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.

Kata beliau,

Inisiatif Atoms4Food yang disokong oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) membuka peluang yang besar untuk memperkukuh keselamatan makanan, bukan sahaja di Malaysia, malah pada peringkat global.

Beliau turut menjelaskan bahawa berdasarkan trend amalan dan penggunaan semasa, pengeluaran pertanian dijangkakan meningkat kira-kira 70 peratus pada tahun 2050 untuk memenuhi permintaan makanan pada masa hadapan.

Ujar beliau,

Bagi memenuhi permintaan tersebut, Malaysia perlu mengukuhkan infrastrukturnya dengan mengetengahkan teknik nuklear yang inovatif seperti pembiakan mutasi tumbuhan untuk menghasilkan varieti tanaman baharu dan benih yang lebih baik serta penanda molekul untuk pencirian makanan dan pemantauan terperinci keadaan tanah serta alam sekitar yang terjejas akibat perubahan iklim.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan (tengah) bersama-sama Pengarah Bahagian Pengkomersialan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rasif Mohd Zin (kanan) dan Pengerusi Penganjur Seminar Keselamatan Makanan 2024, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan ketika melawat reruai yang mempamerkan produk tentang keselamatan makanan dan sebagainya.

Tambah beliau, teknik serangga mandul (SIT) digunakan untuk mengawal perosak seperti lalat buah, sementara isotop turut membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi memastikan sektor pertanian lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Menurut beliau, kerjasama antara pihak kerajaan, industri dan akademia adalah penting dalam memastikan teknologi nuklear dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh keselamatan makanan negara.

Jelasnya,

Nuklear Malaysia akan terus komited dalam usaha mengarusperdanakan teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya di Malaysia dan berusaha memperkasakan daya tahan sektor makanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim yang semakin kompleks.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi