Diterbitkan pada 22 September 2024, 18:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rompin – Pemeriksaan kesihatan menjadi antara tarikan pengunjung di reruai Universiti KPJ Healthcare (KPJU) dalam Rompin Fest 2024 yang berlangsung di Dataran Pantai Hiburan, Kuala Rompin, Pahang yang bermula dari 6 September hingga 22 September 2024.

Antara program diadakan di reruai KPJU termasuklah pameran kesihatan yang melibatkan perkongsian tip penjagaan ubat-ubatan, pameran alatan bilik bedah, teknik bantuan kecemasan, demonstrasi dan tayangan video pembelajaran saringan kanser payudara serta kuiz sains dan kesihatan.

Pengunjung yang hadir ke reruai KPJU berpeluang mempelajari teknik pertolongan kecemasan.

Mahasiswa jurusan Sarjana Muda Pengimejan Perubatan KPJU, Syajaratul Amirah binti Haris yang terlibat secara langsung dalam program berkenaan berkata, maklumat mengenai kanser payudara serta kaedah pengesanan awal kanser tersebut merupakan antara perkongsian yang diadakan bersama-sama pengunjung pameran.

“Kumpulan kami menayangkan video inovasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan pemeriksaan mamografi serta melakukan demonstrasi teknik PSP dengan menggunakan phantom payudara bagi membantu masyarakat mengetahui proses yang terlibat dengan lebih jelas di samping menerapkan prasangka positif dalam masyarakat mengenai aktiviti pengesanan awal kanser payudara, terutama pemeriksaan mamogram,” ujarnya.

Demonstrasi PSP serta tayangan video pembelajaran prosedur mamogram menjadi antara tarikan pengunjung di reruai KPJU.

Menurut salah seorang peserta program yang berkunjung ke reruai KPJU, maklumat yang dikongsikan di reruai KPJU membuka minda serta menjadikan masyarakat lebih peka terhadap pentingnya penjagaan kesihatan yang dapat meningkatkan kualiti hidup.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi