Diterbitkan pada 20 September 2024, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pertandingan Robot Tempur Malaysia anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama Hibiscus Petroleum Berhad merupakan antara usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam mencungkil bakat robotik dalam kalangan belia di Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI, pertandingan yang diadakan di PSN, Kuala Lumpur bermula 16 September 2024 hingga 19 September 2024 itu bertujuan menggalakkan penyertaan belia dalam teknologi masa hadapan dan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri robotik global.

Tambah MOSTI, Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 merupakan kesinambungan daripada penganjuran Pertandingan Robot Tempur Malaysia yang telah diadakan sebanyak tujuh kali sejak tahun 2013.

Kata MOSTI,

Tujuan utama bagi pertandingan ini adalah untuk memperkasakan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna.

MOSTI berkata, cabaran utama dalam pertandingan yang bertemakan “Terus Berjuang” itu ialah setiap peserta perlu menghasilkan robot yang berkeupayaan bertempur satu lawan satu dalam gelanggang yang disediakan.

Para peserta pertandingan perlu mengaplikasikan ilmu pengetahuan mereka dalam bidang “wireless technology” dan “robot design” dalam penghasilan robot tempur.

Menurut MOSTI, PSN memperkenalkan halangan tambahan di gelanggang sebagai cabaran baharu kepada robot yang bertanding dan halangan itu direka untuk menguji ketahanan dan kebolehan robot dalam situasi yang lebih kompleks, sekali gus menyebabkan setiap pasukan yang bertanding perlu mengatur strategi untuk mempertahankan robot di samping mengalahkan robot lawan.

Dalam hal ini, PSN percaya bahawa pembaharuan yang dilakukan dapat meningkatkan kualiti pertandingan dan memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada semua peserta dan penonton.

Dalam kenyataan itu juga, MOSTI memaklumkan bahawa PSN telah menerima sebanyak 29 penyertaan pasukan daripada institut pengajian tinggi, politeknik, Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran MARA dan Institut Kemahiran Belia Negara di seluruh negara.

Katanya, sejumlah hadiah wang tunai bernilai hingga RM23,000.00 ditawarkan kepada pasukan yang memenangi pertandingan berkenaan.

Pengarah PSN, Mohammad Fuad Rahman dalam kenyataan yang sama berkata, pertandingan yang dianjurkan merupakan sebahagian daripada inisiatif PSN untuk mengembangkan bakat tempatan dalam bidang robotik.

Tambah beliau, lebih banyak belia akan lebih berinspirasi serta berinovasi dalam meneroka bidang teknologi robotik melalui acara ini dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang berasaskan teknologi.

MOSTI juga berkata, negara akan dapat melahirkan lebih banyak profesional dan inovator dalam bidang robotik yang berdaya saing pada peringkat antarabangsa dengan adanya platform seumpama ini.

Pertandingan ini juga merupakan satu daripada inisiatif MOSTI dalam merealisasikan Pelan Hala Tuju Robotik Kebangsaan 2021–2030 bagi memperkasakan bidang robotik negara.

Pertandingan ini merupakan satu daripada pemerkasaan pembangunan bakat teknikal robotik untuk membekalkan tenaga mahir bagi penggunaan industri serta memberikan peluang kepada para peserta untuk terus menambah kemahiran dan profesional dalam bidang robotik dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Pertandingan Robot Tempur Malaysia pada tahun ini dimenangi oleh pasukan TAR02 dari Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta piala pusingan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal telah merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia tersebut.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad, Encik Zainul Rahim Mohd Zain dan Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, Encik Abdullah Daud.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi