Diterbitkan pada 4 September 2024, 11:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 107 orang warga akademik yang terdiri daripada Pensyarah Sumber (Resource Person) dan Pensyarah Bertanggungjawab atau Lecturer in-Charge (LIC) telah menghadiri Bengkel Pemantapan Maklumat Kursus dan Pembangunan Rubrik anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Hal Ehwal Akademik (BHEA) dan Unit Hal Ehwal Kurikulum (UHEK).

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim yang menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang menghadiri program ini.

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim semasa menyampaikan ucapan perasmian dalam Bengkel Pemantapan Maklumat Kursus dan Pembangunan Rubrik di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Selepas majlis perasmian berlangsung, YBrs. Profesor Madya Ahmad Fikri Mohd Kassim menyampaikan perkongsian beliau yang bertajuk ”Penghayatan Konsep Madani dalam Pengajaran dan Pembelajaran: Peranan Pensyarah dan Penasihat Akademik“.

Kemenjadian generasi madani diseimbangkan dengan elemen intelektual, kemanusiaan, rohaniah, akliah, jasmaniah, sainstifik dan liguistik.

“Oleh hal yang demikian, warga pendidik bertanggungjawab untuk memastikan aspek pelajaran dan pembelajaran diterapkan dengan enam tonggak Malaysia Madani yang merangkumi nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,“ tambah beliau lagi.

Sementara itu, Koordinator UHEK, Dr. Siti Nor Din berkata penganjuran bengkel ini amat penting bagi memastikan warga pendidik memahami tugas dan tanggungjawab sebenar seorang pensyarah, memantapkan dokumen maklumat kursus dan membangunkan rubrik penilaian kursus dengan lebih efektif.

“Bengkel ini diadakan susulan maklum balas daripada bahagian audit akademik dan badan profesional bagi memastikan pengurusan dan operasi akademik mematuhi peraturan, garis panduan, polisi serta dasar kerajaan,” kata beliau.

YBrs. Dr. Siti Nor Din semasa berkongsikan ilmu di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

“Oleh itu, penambahbaikan bagi perkara yang dibincangkan dalam bengkel perlu dilakukan dan diberi perhatian oleh semua pensyarah bagi memastikan pelaksanaan kurikulum akademik berada pada tahap yang berkesan,” tegasnya lagi.

Beliau juga berharap agar para peserta bengkel dapat memanfaatkan peluang ini dengan membuat penambahbaikan terhadap maklumat kursus masing-masing dan menepati standard Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA) dalam usaha memenuhi keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Saya berharap proses penilaian pelajar akan dapat dijalankan dengan lebih telus dan berkualiti dalam proses melahirkan graduan kelas pertama,” kata beliau.

Beliau juga membuat perkongsian dengan mengupas lanjut berkenaan Model Analisis, Design, Access dan Built-in Belief (A.D.A.B) dalam aspek pengajaran dan pembelajaran yang telah dibangunkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa.

Turut menyampaikan perkongsian ialah Penyelaras NOBLe, Dr. Faradina Marzukhi dengan tajuk “Pembangunan Rubrik untuk Penilaian”.

Beliau berkata pembangunan rubrik berkesan dapat menjimatkan masa, mengurangkan ketidakpastian dan memperincikan tahap prestasi mahasiswa semasa proses penilaian dan penggredan.

Dr. Faradina Marzukhi ketika menyampaikan perkongsian dalam Bengkel Pemantapan Maklumat Kursus dan Pembangunan Rubrik.

“Rubrik penilaian yang berkesan memenuhi aspek kebolehpercayaan, kesahan, fleksibiliti, keadilan, ketepatan maklumat, keseragaman dan pentaksiran yang memenuhi matlamat program dan hasilan pembelajaran,” kata beliau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi