Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah memperkenalkan barisan pasukan Nuklear Rangers bagi tahun 2024 hingga tahun 2026 ketika Majlis Perhimpunan Bulanan baru-baru ini.
Nuklear Rangers terdiri daripada 33 pegawai yang dilantik sebagai Pegawai Perhubungan untuk menyokong pelaksanaan pelbagai program Jangkauan Luar Pendidikan Nuklear (NEO).
“Pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) bersama-sama pasukan ini seperti ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi, pameran bergerak di seluruh negara sehinggalah kepada penghasilan modul pendidikan yang berinovatif”, kata Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dalam majlis berkenaan.
Penubuhan pasukan Nuklear Rangers merupakan satu usaha berterusan di bawah Wawasan Nuklear Malaysia 2030 (WNM2030) yang memfokuskan kepada peningkatan kesedaran masyarakat terhadap sains dan teknologi nuklear.

Pemilihan pegawai juga adalah berdasarkan beberapa kriteria kompetensi utama seperti memiliki pengetahuan sains dan teknologi nuklear, mahir dalam pengucapan awam, interpersonal dan perhubungan awam, pengurusan komunikasi krisis yang cemerlang, mampu menganalisis, menilai seterusnya menterjemahkan maklumat teknikal ke dalam maklumat yang mudah, berpengalaman serta memiliki minat yang mendalam.
Selain memperkenalkan pegawai Nuklear Rangers baharu, majlis ini juga turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Encik Mustapha Akil dari Bahagian Agroteknologi dan Biosains yang telah menunjukkan komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam menyokong dan melaksanakan program NEO.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada lebih 50 pegawai Nuklear Rangers yang telah menyumbang kepakaran dan tenaga dalam menjayakan program NEO sejak pasukan ini diwujudkan pada tahun 2019.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Timbalan Ketua Pengarah, Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Dr. Ishak Mansor; Pengarah BPM, Puan Habibah Adnan; pengarah bahagian; serta staf Nuklear Malaysia.