Diterbitkan pada 1 September 2024, 17:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Sebanyak lima orang pelajar Program Fisioterapi dari Universitas Airlangga, Indonesia yang mengikuti Program Mobiliti bersama-sama Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengunjungi Riding For Disabled Association (RDA) Malaysia untuk memperoleh pendedahan mengenai perkhidmatan rawatan terapi yang tersedia di Malaysia, khususnya terapi berkuda untuk kanak-kanak berkeperluan khas seperti penghidap sindrom Down, palsi serebral, masalah hiperaktif, dan kekurangan tumpuan (ADHD) dan autisme.

Sesi lawatan yang diselia oleh Ketua Jurulatih Terapi Berkuda, RDA Malaysia, PW (B) Muthusamy a/l Kandasamy yang mengakui akan pendekatan holistik terapi berkuda dapat membantu kanak-kanak istimewa bagi mencapai kualiti hidup yang optimum.

Kuda padi yang digunakan untuk sesi terapi berkuda perlu dilatih terlebih dahulu sebelum sedia ditunggangi oleh kanak-kanak istimewa.

“Terapi berkuda bukan hanya bermanfaat terhadap pemulihan fungsi fizikal, kekuatan otot, koordinasi,  keseimbangan serta kestabilan anggota badan semata-mata, malah dapat merangsang perkembangan deria sensori, emosi, kognitif, psikososial serta komunikasi kanak-kanak istimewa,” katanya yang pernah menjalani latihan silibus RDA secara inklusif dan komprehensif di United Kingdom dan kini menjadi jurulatih RDA di institusi dalam dan luar negara seperti Indonesia, Singapura, Hong Kong, Hungary dan Belgium.

Pelajar berjalan secara seiringan di bahagian kiri dan kanan kuda untuk berinteraksi bersama-sama kanak-kanak istimewa semasa sisi terapi berkuda bagi merangsang perkembangan komunikasi kanak-kanak.

Terangnya lagi, kanak-kanak istimewa tidak dikenakan sebarang bayaran untuk menjalani sesi terapi berkuda, malah kursus latihan juga diberikan secara percuma kepada sukarelawan yang berminat untuk menjadi jurulatih.

“Saya amat amat mengalu-alukan pelajar Universitas Airlangga untuk kembali ke Malaysia bagi mengikuti kursus sebagai jurulatih dan seterusnya menawarkan terapi berkuda kepada golongan kurang upaya di tanah air mereka,” sarannya lagi.

Ketua jurulatih menunjukkan senaman yang sesuai di atas kuda bagi menguatkan otot kaki, pinggang dan badan kanak-kanak istimewa.
Senaman berdiri dan duduk di atas kuda dapat memperbaik postur tubuh dan menguatkan kaki.
Keceriaan jelas terpancar di wajah anak istimewa penghidap serebral palsi semasa sesi terapi berkuda yang akan membantu memulihkan perkembangan emosi.
Pergerakan kuda semasa berjalan bermanfaat membantu merangsang perkembangan koordinasi anggota atas (tangan dan bahu) dan bawah badan (pelvis dan kaki) kanak-kanak istimewa.

Semasa lawatan, para pelajar berpeluang mengendalikan sesi rawatan terapi berkuda untuk kanak-kanak istimewa bersama-sama jurulatih di RDA, sambil diberikan pendedahan tentang teknik asas pengendalian kuda dan rawatan terhadap kanak-kanak istimewa semasa sesi terapi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi