Diterbitkan pada 1 September 2024, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pensyarah, klinisian dan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni warga emas di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Shah Alam melalui program pemeriksaan kesihatan dan ceramah tentang pemakanan, semalam.

Menurut Ketua Bait Al-Mawaddah, Tuan Haji Abdul Razak Razali, program ini bermanfaat kepada warga Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah kerana golongan ini sukar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan disebabkan oleh isu pengangkutan dan kewangan.

Ketua Bait Al-Mawaddah, Tuan Haji Abdul Razak bin Razali ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Program yang julung-julung kali diadakan ini diharapkan dapat mengenal pasti golongan warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor yang memerlukan penjagaan kesihatan,” jelasnya dalam ucapan alu-aluan.

Sementara itu, Ketua Hubungan Industri dan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Dr. Mohd Harimi Abd Rahman menzahirkan rasa teruja dan gembira kerana program ini berlangsung dengan jayanya.

Dr. Mohd Harimi Abd Rahman selaku Ketua Hubungan Industri dan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, UKM berhasrat agar usaha ini memberikan peluang lebih baik kepada warga emas untuk menikmati kesihatan yang lebih sempurna.

“Kami juga mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kelangsungan kesihatan warga emas di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah,” ujarnya.

Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah telah ditubuhkan pada tahun 2014 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memberikan perlindungan kepada warga emas golongan asnaf yang terbiar.

Program ini adalah selaras dengan objektif penubuhan Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, iaitu memberikan perlindungan, pengawasan, pemulihan dan pembangunan diri yang berkesan kepada warga emas yang tergolong daripada fakir dan miskin yang tidak terbela, memberi jagaan dan rawatan kepada warga emas.

Pemeriksaan kesihatan mata kepada salah seorang warga emas dari Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah.
Pemeriksaan tekanan darah dan kandungan gula dalam darah.
Kemudahan fisioterapi yang disediakan kepada penghuni Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah.

Usaha ini adalah demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka, menjaga kebajikan penghuni pusat penjagaan warga emas dengan baik dan mewujudkan persekitaran yang sihat, cergas, ceria, harmoni, kasih sayang serta kondusif dalam kehidupan warga emas.

Saringan kesihatan yang ditawarkan dalam sesi pemeriksaan kesihatan tersebut termasuklah pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan pemeriksaan mata.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi