Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Pensyarah, klinisian dan pelajar dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyantuni warga emas di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, Shah Alam melalui program pemeriksaan kesihatan dan ceramah tentang pemakanan, semalam.
Menurut Ketua Bait Al-Mawaddah, Tuan Haji Abdul Razak Razali, program ini bermanfaat kepada warga Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah kerana golongan ini sukar untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan disebabkan oleh isu pengangkutan dan kewangan.

“Program yang julung-julung kali diadakan ini diharapkan dapat mengenal pasti golongan warga emas dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di Selangor yang memerlukan penjagaan kesihatan,” jelasnya dalam ucapan alu-aluan.
Sementara itu, Ketua Hubungan Industri dan Komuniti, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, Dr. Mohd Harimi Abd Rahman menzahirkan rasa teruja dan gembira kerana program ini berlangsung dengan jayanya.

“Kami juga mengharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kelangsungan kesihatan warga emas di Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah,” ujarnya.
Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah telah ditubuhkan pada tahun 2014 oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memberikan perlindungan kepada warga emas golongan asnaf yang terbiar.
Program ini adalah selaras dengan objektif penubuhan Kompleks Warga Emas Bait Al-Mawaddah, iaitu memberikan perlindungan, pengawasan, pemulihan dan pembangunan diri yang berkesan kepada warga emas yang tergolong daripada fakir dan miskin yang tidak terbela, memberi jagaan dan rawatan kepada warga emas.



Usaha ini adalah demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka, menjaga kebajikan penghuni pusat penjagaan warga emas dengan baik dan mewujudkan persekitaran yang sihat, cergas, ceria, harmoni, kasih sayang serta kondusif dalam kehidupan warga emas.
Saringan kesihatan yang ditawarkan dalam sesi pemeriksaan kesihatan tersebut termasuklah pemeriksaan tekanan darah, kandungan gula dalam darah dan pemeriksaan mata.