Diterbitkan pada 22 Ogos 2024, 16:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nilai – Dalam usaha memperkenalkan teknologi Internet benda (IoT) dan 5G kepada pelajar sekolah menengah, khususnya pelajar perempuan melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama IEEE Malaysia Comsoc and Vehicular Technology Joint Chapter telah berjaya menganjurkan program “Avengers of Innovation” di Sekolah Menengah Sains Tuanku Aishah Rohani, semalam.

Dalam program berkenaan, para peserta diberikan pendedahan tentang teknologi terkini dalam suasana yang merangsang minat dan pemahaman.

Pengarah program yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, USIM, YBrs. Profesor Ir. Dr. Hafizal Mohamad berkata, sebanyak 61 orang pelajar perempuan serta tiga orang guru telah terlibat secara langsung dalam aktiviti amali dan sesi pembelajaran yang dijalankan bagi menggalakkan kerjasama antara universiti dengan pihak sekolah, sekali gus memperkasakan pelajar, khususnya dalam bidang teknologi yang semakin penting dalam era digital pada masa ini.

Menurut beliau, para peserta berpeluang untuk membina projek inovatif melalui aktiviti amali yang dilakukan, berupaya mengembangkan kemahiran teknikal dan kreativiti mereka dalam dunia teknologi serta dapat melahirkan generasi muda yang berkemahiran tinggi dan mampu bersaing pada peringkat global dalam era Revolusi Perindustrian 4.0.

Para peserta sedang melakukan aktiviti amali dalam program berkenaan.

Ujar beliau,

Saya berasa sangat teruja melihat pelajar perempuan begitu berminat dan bersemangat dengan bidang kejuruteraan dan teknologi. Dengan adanya bantuan daripada IEEE Malaysia Comsoc and Vehicular Technology Joint Chapter, kami berusaha untuk mencipta suasana yang menarik dan memberikan pendedahan yang betul agar para peserta akan lebih yakin untuk meneroka dan mengejar minat mereka dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Jelas beliau, program tersebut juga bukan sahaja memberikan ilmu tentang teknologi, malah membantu para peserta membina kepercayaan diri dan mencipta masa hadapan yang cerah dalam industri STEM.

Sesi awal program dimulakan dengan pemahaman asas tentang konsep dan kegunaan IoT dan 5G melalui ceramah yang menarik dan interaktif.

Seterusnya, sesi praktikal menggunakan ESP dan Node-RED diselia oleh 10 orang fasilitator yang berpengalaman, yakni para peserta diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti amali dan mempraktikkan kemahiran baharu yang dipelajari.

Matlamat jangka masa panjang program tersebut adalah untuk mengurangkan jurang jantina dalam bidang STEM dengan memberikan motivasi dan keyakinan kepada pelajar perempuan untuk meneroka bidang yang sering dianggap sebagai “dunia lelaki”.

Dengan adanya pendedahan awal kepada teknologi canggih seperti IoT dan 5G, para peserta diharapkan dapat lebih bersedia dan bersemangat untuk meneruskan pengajian dan kerjaya dalam bidang teknologi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi