Diterbitkan pada 26 Ogos 2024, 15:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Stesen Penyelidikan Marin dan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis menerima kunjungan daripada All Field (AF) Maritim Sdn. Bhd. di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Pentadbiran, UiTM Cawangan Perlis.

Tujuan kunjungan AF Maritim Sdn. Bhd. itu adalah untuk mengutarakan cadangan kerjasama menambah jumlah pelaut dalam kalangan graduan demi memenuhi permintaan industri, pemantapan kurikulum dalam bidang maritim dan menguar-uarkan peranan AF Maritim Sdn. Bhd. dalam menghubungkan mahasiswa dengan tempat latihan industri.

Delegasi dari AF Maritim Sdn. Bhd. diketuai oleh Pengarah Bukan Eksekutif, Kapten Khalid Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Mhd Ackmal Mhd Amir.

“UiTM amat menyokong pelibatan industri dalam memantapkan profesional graduan dan pembangunan program akademik di UiTM Cawangan Perlis,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Tambah beliau,

Kurikulum di universiti menjadi lebih dinamik dan terkini dengan penambahbaikan kurikulum oleh pihak industri dalam usaha melahirkan graduan pilihan syarikat gergasi, terutamanya dalam bidang maritim.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika mempengerusikan mesyuarat kerjasama dengan AF Maritim Sdn. Bhd.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Ts Dr. Jamil Tajam berkata, kerjasama AF Maritim Sdn. Bhd. bersama-sama program Teknologi Marin akan memberikan nilai tambah dalam bentuk ilmu pengetahuan dan peluang graduan untuk memilih kerjaya profesional dalam bidang maritim.

Ujarnya,

Kita mempunyai graduan dan alumni program yang bekerja di pelabuhan besar di seluruh Malaysia bagi memenuhi keperluan sektor logistik dan pelabuhan.

Dari kiri: Kapten Khalid Mohamad, Encik Mhd Ackmal Mhd Amir dan YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam di Bilik Mesyuarat Perdana, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, kerjasama dengan AF Maritim Sdn. Bhd. akan membuka lebih banyak peluang kepada graduan dan alumni untuk menceburi sektor perkapalan pada peringkat tempatan dan luar negara.

Sementara itu, Kapten Khalid Mohamad menyokong usaha yang dilakukan untuk melahirkan banyak pelaut dalam kalangan graduan UiTM Cawangan Perlis.

Beliau menyatakan bahawa Malaysia secara amnya menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja pelaut untuk memenuhi keperluan industri jika dibandingkan dengan negara jiran lain seperti Filipina dan Indonesia.

Katanya,

AF Maritim Sdn. Bhd. mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang perkapalan dan pelabuhan serta boleh membantu graduan untuk mendapatkan sijil kompetensi, sekali gus menambah jumlah pelaut.

Pada masa yang sama, Encik Mhd Ackmal Mhd Amir berkata, kerjasama yang dilakukan dengan AF Maritim Sdn. Bhd. memberikan banyak manfaat kepada kemenjadian graduan dalam sektor maritim.

Jelasnya,

AF Maritim Sdn. Bhd. akan membuka peluang pekerjaan dengan syarikat gergasi perkapalan tempatan dan antarabangsa, terutamanya graduan yang sedang mencari kerja kerana kami mempunyai jalinan kerjasama yang kuat dengan pelbagai sektor industri.

Seterusnya, delegasi dari AF Maritim Sdn. Bhd. juga dibawa melawat ke Makmal Teknologi Marin yang berada di Zon Al-Farabi, UiTM Cawangan Perlis.

Kapten Khalid Mohamad dan Encik Mhd Ackmal Mhd Amir dibawa melawat ke Makmal Teknologi Marin, UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim; Penolong Pendaftar Kanan (Hal Ehwal Akademik), UiTM Cawangan Perlis, Puan Hanisah Hassan dan barisan pensyarah program Teknologi Marin Lestari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi