Diterbitkan pada 1 Ogos 2024, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengorak langkah proaktif dalam usaha memperkukuh hubungan antara dunia akademik dengan industri melalui penganjuran Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa daripada pihak industri kepada tujuh orang pelajar FSK, UKM.

Majlis yang melibatkan dua syarikat industri, iaitu Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. dan Hatching Group PJ Sdn. Bhd. itu berlangsung dengan penuh gemilang di Dewan Kuliah 3, FSK, UKM.

Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. dan Hatching Group PJ Sdn. Bhd. atas pemberian biasiswa kepada lima orang pelajar tahun akhir program Optometri dan Sains Penglihatan serta dua orang pelajar tahun akhir program Terapi Cara Kerja.

YBrs. Profesor Dr. Suzana ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa daripada pihak industri kepada pelajar terpilih FSK, UKM.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa biasiswa tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan para pelajar dan memberikan inspirasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam pembelajaran dan kehidupan, malah menjadi bukti kepada kualiti pendidikan yang diberikan oleh pihak universiti.

Beliau berkata,

Komitmen yang diberikan oleh pihak industri dalam memberikan biasiswa dan menerima pelajar kami untuk bekerja di syarikat mereka akan memudahkan peralihan yang lancar, daripada kehidupan pelajar ke dunia pekerjaan.

Sesi penyerahan sumbangan berbentuk sijil cura oleh syarikat Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. berjumlah RM132,000 diberikan kepada Asyraf Zulhakim Shamsul, Nur Syafika Natasha Muhamad Kamarul Azman, Nur Alya Annisaa’ Shahri, Nur Natasha Sofea Nick Hamasholdin dan Wan Fatini Wan Hanafi dari program Optometri dan Sains Penglihatan.

Penerima biasiswa daripada Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd. bergambar bersama-sama YBhg. Dato’ Liaw Choon Liang.
Penerima biasiswa daripada Hatching Group PJ Sdn. Bhd. merakamkan gambar kenangan bersama-sama Puan Loh Yee Shan.

Sementara itu, Hana Humaira Zolkifli dan Nur Atikah Suib dari program Terapi Cara Kerja diumumkan sebagai penerima biasiswa daripada Hatching Group PJ Sdn. Bhd. berjumlah RM20,000.

Majlis penyampaian penajaan biasiswa berkenaan merupakan bukti kepada kerjasama erat antara fakulti dengan industri dan perkongsian yang dibina atas nilai bersama itu berupaya mencipta peluang yang bermakna untuk para pelajar menyumbang kepada kemajuan profesion sains kesihatan secara amnya.

Penerima biasiswa bergambar bersama-sama para penaja dan kakitangan fakulti yang terlibat dalam Majlis Penyampaian Penajaan Biasiswa berkenaan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Focus Point Vision Care Group Sdn. Bhd., YBhg. Dato’ Liaw Choon Liang; Pengarah Urusan Hatching Group PJ Sdn. Bhd, Puan Loh Yee Shan; Timbalan Dekan (Jaringan Industri Alumni dan Masyarakat), FSK, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf; Ketua Program Optometri dan Sains Penglihatan, YBrs. Dr. Mizhanim Mohamad Shahimin; Ketua Program Terapi Cara Kerja, YBrs. Dr. Nor Afifi Razaoub; kakitangan syarikat pihak industri serta barisan pensyarah, pegawai dan kakitangan FSK, UKM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi