Diterbitkan pada 27 Julai 2024, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Program The 8th Colloquium of Sports, Health and Fitness (CoSHaF) sesi MacJulai 2024 untuk memberikan pendedahan komprehensif kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda tahun akhir dan pelajar FSSR mengenai penyelidikan dan perkongsian hasil dapatan kajian, sekali gus menyemarakkan semangat cinta akan penyelidikan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, program tersebut diadakan untuk mengubah sudut pandang para pelajar yang terlibat dan membuka ruang kepada mereka untuk menjadikan program ini sebagai titik mula dalam menzahirkan minat terhadap penyelidikan.

“Program ini berjaya memberikan impak yang positif kepada pelajar, khususnya dalam menjadikan mereka lebih berkeyakinan ketika sesi pembentangan dan perkongsian topik masing-masing,” kata Pengarah Program, YBrs. Dr. Nurul Farha Zainuddin.

Menurut beliau, penganjuran program ini merupakan kesinambungan daripada penganjuran kolokium kali ketujuh yang dianjurkan pada tahun 2019, namun dihentikan sementara kerana pandemik yang melanda negara.

Penganjuran program pada kali ini bertemakan tiga tema utama, iaitu “Pengurusan Sukan”, “Sains Sukan” serta “Kesihatan dan Kecergasan” yang melibatkan sebanyak 84 orang pembentang bagi membentangkan hasil dapatan kajian masing-masing.

Keunikan yang terdapat dalam program ini ditambah dengan pelibatan ikon fakulti yang terdiri daripada barisan pensyarah yang berkongsikan ilmu dan memberikan nilai tambah kepada para peserta untuk memupuk minat pelajar dan merapatkan jurang antara para peserta dengan penyelidikan.

Antara panel yang terlibat dalam sesi perkongsian tersebut termasuklah YBrs. Dr. Ahmad Dzulkarnain, YBrs. Dr. Nurul Farha Zainuddin dan YBrs. Dr. Ellail Ain Mohd Aznan dan setiap ikon yang dipilih mewakili setiap tema kolokium bagi meraikan penyelidikan dalam tema yang berbeza dan memberikan sudut pandang yang berbeza kepada para peserta yang hadir daripada program yang berbeza.

Topik yang dikongsikan dalam program berkenaan termasuklah “Resistance Training Insulin Sensitivity and Metabolic Health”, “Task Difficulty as a Tool for Analyzing Cognitive and Physiological Performance of Cyclist in Virtual Reality” dan “Measuring Excellence: Unveilling the Grading Instrument for Fitness Facilities” yang memberikan input tentang dapatan kajian, impak kajian serta cadangan perkembangan kajian dan penyelidikan.

Sementara itu, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim berkata, penganjuran kolokium tersebut adalah sejajar dengan hasrat universiti dalam melahirkan lebih banyak penyelidik muda yang mempunyai jiwa yang besar dalam bidang penyelidikan.

Jelas beliau,

Kualiti akademik akan lebih menyerlah selari dengan perkembangan dan dapatan kajian ilmiah serta refleksi aktiviti penyelidikan yang dilakukan dapat memberikan nilai tambah kepada mahasiswa, terutamanya dalam perkara kognitif, membuat keputusan dan disiplin dalam kehidupan.

Beliau turut berkesempatan menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada para penganjur yang merupakan tonggak utama dalam penganjuran program pada kali ini, sekali gus menyatakan kegembiraannya dengan maklum balas yang diberikan oleh para peserta terhadap program yang dilihat telah mencapai objektif utama penganjurannya.

Turut memberikan pandangan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr Harris Kamal Kamarudin berkata, program seumpama ini wajar diteruskan pada masa hadapan bukan hanya untuk memberikan pengalaman yang berharga kepada para pelajar, malah menjadi platform perkongsian para pensyarah dan merapatkan jurang yang telah sedia ada dalam bidang akademia dan penyelidikan.

Mengulas lebih lanjut, penganjuran program tersebut bukan sahaja memperkukuh pengetahuan dan kemahiran penyelidikan tetapi membentuk pelajar menjadi individu yang mempunyai daya fikir luar biasa dan mampu berdaya saing pada peringkat yang lebih tinggi.

Melalui maklum balas yang diterima, Encik Muhammad Aisar menyatakan bahawa keyakinan dirinya meningkat berbanding sebelum melakukan pembentangan, malah program ini menjadikan dirinya sebagai seorang yang sangat positif, terutamanya dalam mempengaruhi rakan yang gementar ketika melakukan pembentangan.

Sesi pandangan yang diberikan oleh Encik Muhammad Aisar tentang program Kolokium Sukan, Kesihatan dan Kecergasan.

Puan Nadratul Wardah pula berkata, program tersebut telah memberikan inspirasi baharu kepada dirinya, terutamanya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana melalui sesi perkongsian yang disampaikan oleh ahli panel.

Puan Nadratul Wardah ketika memberikan pandangan tentang program yang dianjurkan.

Pada masa yang sama, sebanyak empat anugerah istimewa telah diberikan kepada para peserta yang bertuah sebagai tanda pengiktirafan dan galakan atas usaha gigih mereka, iaitu Encik Muhammad Aisar Che Rouse menerima Anugerah Pembentang Terbaik bagi tema “Pengurusan Sukan”; Puan Nafisa Muhammad Iqbal juga memperoleh Anugerah Pembentang Terbaik bagi tema “Sains Sukan”; Puan Nursyakirah Huda Mohd Sofie turut menerima Anugerah Pembentang Terbaik bagi tema “Kesihatan dan Kecergasan” dan Encik Muhammad Akmal Hazim Razali dianugerahkan Anugerah Penyelidik Harapan.

Sesi bergambar bersama-sama para penerima anugerah dalam program Kolokium Sukan, Kesihatan dan Kecergasan.

Penganjuran program ini dilihat meninggalkan kesan yang amat baik, khususnya dalam membentuk jati diri para peserta sebagai penyelidik muda dan harapan kepada bidang penyelidikan di Malaysia, terutamanya dalam bidang sukan dan rekreasi, maka penganjurannya akan diteruskan bagi semester yang akan datang bagi memberikan lebih banyak pengalaman dan seterusnya meningkatkan bilangan penyelidik di negara ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi