Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) di bawah Makmal Kumpulan Farmaseutikal, Bahagian Teknologi Perubatan telah menerima pengiktirafan sebagai satu daripada makmal berstatus BioNexus Partners Laboratories (BNP Labs).

Sijil pengiktirafan tersebut telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Yang Berhormat (YB) Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal kepada Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.
“BNP Labs berupaya untuk menangani cabaran program penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengkomersialan dan inovasi (C&I) di Malaysia, yakni 66 peratus projek R&D dan C&I masih bergantung pada peruntukan kerajaan,” kata YB Dato’ Haji Mohammad Yusof Apdal ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sijil BNP Labs di National Bioeconomy Showcase 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, semalam.
Tambah beliau, kepakaran, kemudahan, alatan, latihan, akreditasi dan perkhidmatan teknikal R&D dan C&I yang ditawarkan oleh BNP Labs menjadikan usahawan dan syarikat PKS bioteknologi dan berasaskan bio lebih berdaya saing dan inovatif melalui bimbingan penyelidikan produk baharu, penambahbaikan produk sedia ada serta analisis dan pengkomersialan produk.
Sebanyak 38 makmal telah dianugerahkan status BNP Labs ke arah memperkasakan keusahawanan dan keupayaan inovasi dalam industri bioteknologi dan berasaskan bio di Malaysia.
BNP Labs merupakan program di bawah Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) yang menyokong keperluan R&D dan C&I negara serta merapatkan jurang antara pemain industri dengan komuniti R&D.
BNP Labs juga dilihat sebagai platform yang menyokong penjanaan pendapatan oleh syarikat bioteknologi termasuklah syarikat berstatus BioNexus, syarikat Bio-based Accelerator (BBA) dan projek berimpak tinggi yang setakat ini telah menyumbang pendapatan sebanyak RM37.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.