Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – National Economy Bio Showcase 2024 (NBIO SHOWCASE 2024) yang akan berlangsung selama dua hari, iaitu pada 17 Julai 2024 hingga 18 Julai 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur merupakan persidangan dan pameran yang mengumpulkan para usahawan bioteknologi untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka.
Naib Presiden Kanan, Bahagian Sokongan Industri Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Puan Nora Mohamed berkongsikan perkara itu dalam sesi temu bual menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Malaysia, semalam.

Menurut beliau, selain 140 reruai dan lebih daripada 110 orang pempamer yang terlibat, NBIO SHOWCASE 2024 juga menawarkan peluang kerjaya dengan sesi temu duga yang diadakan secara terbuka.
Ujar beliau,
Bioeconomy Corporation yang ditubuhkan pada tahun 2005 merupakan sebuah agensi di bawah MOSTI yang berperanan memberikan bantuan dan sokongan kepada mana-mana pihak yang berkepentingan dalam bidang bioteknologi di Malaysia serta berusaha mencari bakat baharu, terutamanya dalam bidang pertanian, industri dan penjagaan kesihatan.
Dalam sesi temu bual itu juga, beliau turut berkongsikan antara program penting yang diketengahkan oleh pihaknya ialah status BioNexus yang menawarkan pelbagai kelebihan seperti insentif cukai, latihan percuma dan pembiayaan kepada syarikat yang berjaya memperoleh status tersebut, di samping melaksanakan program komprehensif bagi membantu syarikat lain mencapai tahap BioNexus.
Menyentuh mengenai prospek masa hadapan pula, beliau menyatakan bahawa Bioeconomy Corporation menjangkakan nilai pelaburan baharu mencecah RM1.32 bilion dengan penawaran pekerjaan sebanyak 500 kekosongan termasuklah NBIO SHOWCASE 2024 yang turut menawarkan 100 kekosongan jawatan.