Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Dalam era moden kini, penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin meluas di seluruh dunia yang amat mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan seharian bukan sahaja diterapkan dalam pendidikan formal, malah pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.”
Dekan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian Institute of Information Technology, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Nizam Husen berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Menurut beliau, AI akan terus berkembang dan berintegrasi dalam kehidupan manusia pada masa hadapan kerana teknologi ini merupakan satu daripada langkah strategik untuk kemajuan negara.
Ujar beliau,
Pelbagai kursus AI ditawarkan di UniKL untuk memenuhi permintaan industri. AI Centre yang ditubuhkan oleh UniKL berperanan penting dalam pendidikan dan latihan AI kerana terbukti mampu meningkatkan kecekapan sistem, membantu membuat keputusan dengan cepat dan tepat tanpa dipengaruhi oleh emosi.
Beliau juga menyatakan bahawa banyak bidang lain turut meraih manfaat daripada AI termasuklah perbankan bagi permohonan pinjaman dan kesihatan, misalnya untuk mendiagnosis penyakit.

Ketika ditanya mengenai kebergantungan manusia kepada AI, beliau menekankan bahawa manusia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada AI, sebaliknya memikirkan cara untuk membangunkan dan memperbaik teknologi ini.
Dalam sesi perbincangan itu juga, beliau berkongsikan bahawa lebih daripada 60 peratus pengajaran di UniKL adalah berbentuk praktikal bagi memastikan pelajar mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran sebenar selepas mereka tamat pengajian.