Diterbitkan pada 10 Julai 2024, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Perlis menerima kunjungan delegasi Malaysian Institute of Marine Engineering Technology, Universiti Kuala Lumpur (UniKL–MIMET) bagi meneroka peluang kolaborasi dalam bidang sains dan teknologi, khususnya oseanografi dan maritim.

Delegasi dari UniKL–MIMET terdiri daripada YBrs. Dr. Roslin Ramli; YBrs. Dr. Noorlee Boonadir; YBrs. Dr. Asmawi Ismail; Puan Yusnina Mohd Yusuf; Encik Mohd Jasmin Zainuddin dan Encik Nor Adif Hasbullah.

Kehadiran delegasi UniKL–MIMET disambut oleh Ketua Pusat Pengajian, Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim dan Penyelaras Program Teknologi Marin Lestari, Puan Aziani Ahmad.

Dalam sesi pertemuan itu, wakil UniKL–MIMET, YBrs. Dr. Asmawi Ismail berkata, banyak peluang kerjasama antara kedua-dua institusi yang boleh diterokai, terutamanya dalam bidang oseanografi dan maritim dengan adanya kepakaran yang dimiliki oleh warga institusi.

Menurut beliau, kelebihan dan kekurangan inti pati program akademik yang sedang dijalankan di kedua-dua institusi boleh saling melengkapi antara satu sama lain dengan penganjuran program pertukaran pensyarah dan pelbagai kursus pendek yang ditawarkan.

Sesi lawatan delegasi UniKL–MIMET ke Makmal Teknologi Marin Lestari memberikan lebih banyak idea kolaborasi dalam bidang sains kelautan.

Sementara itu, YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam yang mewakili program Teknologi Marin Lestari menyokong sepenuhnya peluang kerjasama dengan UniKL-MIMET kerana dengan adanya teknologi makmal yang dimiliki oleh UniKL-MIMET boleh dimanfaatkan oleh warga UiTM untuk tujuan penyelidikan, penerbitan dan kolaborasi akademik dalam bidang kelautan.

YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam menyampaikan maklumat tentang Stesen Penyelidikan Marin dan potensi kerjasama di Pulau Tuba kepada delegasi UniKL–MIMET.

Jelas beliau, UiTM Cawangan Perlis mempunyai Stesen Penyelidikan Marin di Pulau Tuba yang boleh digunakan untuk tujuan kerja lapangan, persampelan data dan penyelidikan meliputi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak.

Ujar beliau,

Untuk fasa yang seterusnya, kita boleh menjalin kolaborasi penyelidikan, menandatangani memorandum persefahaman dan memorandum perjanjian serta program pertukaran pensyarah.

Delegasi UniKL–MIMET menyaksikan spesimen ikan dan sumber marin yang diawet untuk tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan.

Seterusnya, mantan Koordinator Institute of Continuing Education and Profesional Studies, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Shamshul Anaz Kassim yang mewakili YBrs. Dr. Hasyeilla Abd Mutalib membuat pembentangan kepada delegasi UniKL–MIMET mengenai pendidikan jarak jauh (PJJ) berkaitan dengan program Teknologi Marin Lestari.

YBrs. Dr. Shamshul Anaz Kassim ketika menyampaikan maklumat tentang pendidikan jarak jauh berkaitan dengan program Teknologi Marin Lestari kepada delegasi UniKL–MIMET.

“Dengan yuran yang berpatutan, program PJJ Teknologi Marin Lestari pasti berupaya menarik minat lebih banyak mahasiswa dari UniKL–MIMET dan orang luar,“ kata beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Rektor, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (PJIM&A), YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail, Koordinator Program FSG, YBrs. Dr. Rosyaini Afindi Zaman dan Dr. Faiezah Hashim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi