Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Bridging The Gap: Facilitating Seamless Transition in Physiotherapy Care from Pediatric to Adult Setting in Developmental Disability untuk menangani cabaran peralihan yang dialami oleh ahli fisioterapi dan pesakit dalam proses peralihan penjagaan daripada kanak-kanak kepada dewasa.
Bagi menjayakan bengkel ini, pakar fisioterapi neurologi, Profesor Prue Elizabeth Morgan daripada Monash Universiti, Australia diundang sebagai penceramah.
Dengan penetapan matlamat untuk memastikan peralihan yang lebih lancar dan kesinambungan penjagaan bagi pesakit kurang upaya perkembangan, Profesor Morgan berharap dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit dan keluarga pesakit.
Tindakan ini merupakan langkah penting dalam meningkatkan peralihan penjagaan kesihatan untuk individu yang kurang upaya perkembangan di samping memperkasakan profesional penjagaan kesihatan untuk menyediakan penjagaan yang lebih berkesan dan komprehensif.

Dalam bengkel ini juga, Profesor Morgan berkongsikan ilmu pengetahuan dan pengalamannya untuk membantu ahli fisioterapi di Malaysia tentang keperluan unik pesakit yang beralih daripada penjagaan kanak-kanak kepada orang dewasa.
“Proses transisi tidak hanya unik pada individu dengan keperluan kesihatan yang signifikan tetapi setiap dari kita akan mengalami fasa transisi dalam kehidupan secara serentak”, ujarnya lagi.
Transisi dari fasa remaja ke awal dewasa ialah momen yang signifikan dan penting kerana meliputi transisi ke alam pekerjaan atau pengajian tinggi, transisi ke kehidupan kendiri dan bebas dari pengawasan ibu bapa.
Antara objektif transisi penjagaan kesihatan adalah untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi bersesuaian dengan umur, adat dan perkembangan setiap individu.
Menurutnya, proses transisi juga dapat memaksimumkan kapasiti sesorang untuk kehidupan yang lebih baik dan beroleh matlamat kehidupan seperti pendidikan, sosial dan vokasional tanpa mengira tahap kesihatan dan ketidakupayaan.
Antara cabaran yang dihadapi semasa proses transisi oleh individu dewasa dengan ketidakupayaan adalah keperluan kesihatan mereka yang lebih kompleks.
“Mereka memerlukan lebih interaksi dan janji temu dengan pelbagai sektor kepakaran dan profesional. Selain itu, golongan ini juga kemungkinan tidak celik berkaitan maklumat dan sistem kesihatan yang disediakan secara dalam talian,” hurainya lagi.
Bengkel tersebut dihadiri oleh 18 orang ahli fisioterapi, 24 orang pelajar tahun tiga Program Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, UKM, kakitangan akademik dan ahli klinikal juga diberikan latihan praktikal pada sebelah petang sebagai bimbingan komprehensif kepada peserta.