Diterbitkan pada 2 Julai 2024, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dua orang saintis muda akan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 yang didedikasikan untuk bidang Fizik di Lindau, Jerman bermula dari 30 Jun 2024 hingga 5 Julai 2024.

Menurut Akademi Sains Malaysia (ASM) dalam satu kenyataan, dua orang saintis tersebut ialah Nur Alia Sheh Omar (33 tahun) dan Tang Jia Heak (21 tahun) yang akan menyertai mesyuarat berkenaan bersama-sama lebih daripada 600 orang saintis muda cemerlang lain dari 90 buah negara serta berinteraksi dan bertemu dengan sekurang-kurangnya 30 orang Pemenang Anugerah Nobel.

Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa Nur Alia Sheh Omar merupakan Felow Penyelidik di Aston University, United Kingdom dan beliau telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Ijazah Sarjana Sains Bahan Lanjutan diikuti dengan Doktor Falsafah (PhD) dalam Teknologi Penderiaan di Universiti Putra Malaysia dengan bidang keutamaan beliau termasuklah penderiaan optik resonans plasmon, nanomaterial sisa buangan dan sintesis hijau.

“Saya amat berbangga dan bersyukur kerana dipilih untuk mewakili Malaysia dan Aston University, United Kingdom untuk ke Mesyuarat Nobel Laureate tersebut,” kata Nur Alia.

Beliau amat teruja untuk bertemu dan belajar daripada Pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Fizik serta saintis muda dari seluruh dunia selain dapat meluaskan pandangan serta pengetahuan dan pulang ke negara ini dengan inspirasi dan idea baharu.

Sementara itu, Tang Jia Heak yang ketika ini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Fizik di Universiti Malaya sangat bersemangat dalam mendalami perkembangan fizik dan beliau telah menunjukkan pengetahuan asas yang tinggi serta berpandangan jauh dalam menangani cabaran pada masa hadapan dalam penyelidikan fizik.

“Saya amat teruja dengan peluang keemasan ini dan sebagai seorang mahasiswa, saya perlu memanfaatkan peluang ini untuk meluaskan pandangan saya dan mempelajari topik lanjutan dalam Mesyuarat Nobel Laureate berkenaan,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan yang sama berkata, penyertaan wakil dari Malaysia dalam inisiatif sains dan teknologi pada peringkat global adalah penting, bukan sahaja untuk meningkatkan kedudukan Malaysia pada peringkat antarabangsa, malah dapat membawa pulang amalan dan pemahaman terkini ke Malaysia.

Tambah beliau, hal ini membolehkan kita memperkasakan kebolehan tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara dengan ekonomi berasaskan pengetahuan dan penting bagi pertumbuhan yang lebih berdaya saing serta mampan.

Selain itu, Presiden ASM, Academician Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen FASc pula berkata, inspirasi dan motivasi yang diperoleh daripada mesyuarat tersebut dijangka akan memberikan impak yang mendalam kepada peserta.

Kata beliau,

Peluang untuk bertemu dengan saintis terkemuka dapat membantu dalam membina rangkaian pengetahuan pada peringkat global yang dapat meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berwibawa dan menerusi program seperti ini, saintis muda dapat menjadi rakan kongsi yang disegani dalam program kajian terkemuka di seluruh dunia.

Menurut ASM, Jawatankuasa Pemilihan ASM untuk Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 telah mengadakan sesi temu duga bagi menilai pemohon untuk tahun ini pada Oktober 2023.

Tambahnya, sebanyak 13 orang calon telah disenarai pendek dan disokong oleh Jawatankuasa Pemandu Anugerah serta dua orang wakil telah dipilih bagi mewakili Malaysia.

ASM memaklumkan bahawa Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 akan memberikan tumpuan kepada tiga tema utama, iaitu fizik kuantum dan teknologi kuantum, penyelesaian berasaskan fizik untuk cabaran tenaga dan kecerdasan buatan dalam fizik.

Mesyuarat ini bakal menawarkan peluang yang unik kepada kesemua saintis pada peringkat awal kerjaya yang cemerlang untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka, saling bertukar pengalaman dan idea serta mendapatkan inspirasi daripada rakan sebaya dan Pemenang Anugerah Nobel.

Sejak tahun 2004, Malaysia telah menghantar 86 orang saintis muda, termasuklah wakil pada tahun ini ke Mesyuarat Nobel Laureate di Lindau menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan ASM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi