Diterbitkan pada 2 Julai 2024, 21:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Seminar Kesedaran Alam Sekitar telah dianjurkan oleh Yayasan Pulau Banding dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Green Centre di Podium, UiTM Cawangan Perlis.

Seminar tersebut diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentang kelestarian hijau seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang keempat, ke-14, ke-15 dan ke-17 yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Penganjuran seminar itu juga berikutan Yayasan Pulau Banding menjalankan Jerayawara: Ceramah Kesedaran Alam atau Roadshow: Nature Awareness Talk di lima kampus cawangan UiTM, bermula dari UiTM Cawangan Kuala Pilah, Segamat, Jengka, Dungun dan berakhir di UiTM Cawangan Perlis.

Delegasi dari Yayasan Pulau Banding terdiri daripada Penasihat Yayasan Pulau Banding, Puan Maria Abd Rahman; Pengurus Yayasan Pulau Banding, Encik Zulfadhlan Khusairi; Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Dr. Goh Soon Heng; Pengarah UMK Tropical Rainforest Research Centre, YBrs. Dr. Muhammad Firdaus Abdul Karim dan Pengurus Yayasan EMKAY, Puan Nurhanisah Mohd Mokhtar.

Seminar yang berlangsung selama dua jam itu disertai oleh mahasiswa dan pascasiswazah dari pelbagai bidang pengajian dan subkepakaran.

Peserta seminar, Encik Muhammad Zulharmi Taqzim Kamaruzzaman ketika ditemu bual berkata, seminar yang disertai ini adalah bertepatan dengan usaha untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan alam sekitar secara lebih terperinci.

Ujar beliau,

Delegasi Yayasan Pulau Banding telah berkongsikan pengalaman, kejayaan, dan inisiatif yang telah dilakukan untuk melestarikan kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem hutan hujan tropika.

Di sini kita dapat melihat peranan Yayasan Pulau Banding dalam mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

Sementara itu, Puan Nuraina Hanum Abdulruhim pula berpandangan bahawa penganjuran seminar berkenaan berupaya meningkatkan pengetahuan tentang isu alam sekitar terkini, memberikan inspirasi kepada masyarakat untuk mengambil bahagian dalam menjaga alam sekitar serta menyemai rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar.

Sepanjang seminar tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti seperti sesi soal jawab, permainan kuiz dan pameran serangga Malaysia turut diadakan.

Para peserta berkesempatan melihat spesimen hidup yang dibawa oleh delegasi Yayasan Pulau Banding.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Koordinator UiTM Green Centre, YBrs. Dr. Che Bon Ahmad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi