Diterbitkan pada 8 Jun 2024, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Fakulti Sains Gunaan (FSG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menganjurkan Eksplorasi Dunia Sains (Saintis Cilik 2024) yang bertujuan mencungkil bakat dan menarik minat para peserta terhadap bidang sains pada 8 Jun 2024.

Program yang bermula pada pukul 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari telah disertai oleh 90 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah yang berusia antara tujuh tahun hingga 12 tahun.

“Saya berasa bangga dengan penganjuran program yang menjurus kepada proses pengintegrasian dan penggunaan pengetahuan, kemahiran, minat dan semangat dalam bidang sains dan teknologi,“ kata Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam Majlis Perasmian Eksplorasi Dunia Sains (Saintis Cilik 2024).

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim yang mewakili Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam Majlis Perasmian Eksplorasi Dunia Sains (Saintis Cilik 2024) sambil disaksikan oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim.

Beliau percaya bahawa dengan adanya penganjuran program seumpama ini akan meninggalkan impak yang besar dalam minda dan jiwa para peserta tentang bidang sains dan teknologi secara menyeluruh.

Dalam program tersebut, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan termasuklah pameran sains, tayangan video dan projek Dibuat Individu dengan Yakin (DIY) seperti pembuatan rantai kunci (keychain) dan slime.

Para peserta dibawa melawat ke reruai pameran pelbagai bidang seperti biologi, kimia, fizik, polimer dan marin yang diuruskan sepenuhnya oleh pensyarah dan mahasiswa UiTM Cawangan Perlis.
Aktiviti membuat slime antara perkara yang menarik perhatian para peserta dalam memahami proses tindak balas kimia dan perubahan bentuk fizikal bahan daripada cecair kepada pepejal dan separa pepejal.
Para peserta berpeluang menggunakan beberapa peralatan sambil melihat demonstrasi yang ditunjukkan oleh warga FSG.

Turut hadir ialah Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim; Koordinator Program Fakulti Sains Gunaan, YBrs. Dr. Faiezah Hashim; Pengarah Program Saintis Cilik, Puan Aziani Ahmad dan Koordinator Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Perlis, Puan Eliy Nazira Mat Nazir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi