Diterbitkan pada 10 Jun 2024, 09:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Dalam meniti arus digital dan globalisasi, penggunaan kecerdasan buatan (AI) harus menepati konsep dan saranan agama, akhlak, budaya serta cara hidup masyarakat.

“AI mempunyai manfaat dalam pelbagai bidang yang mampu memberikan keuntungan kepada negara dalam merentasi zaman digital yang mencabar jika digunakan dengan tujuan yang baik,” kata Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam program Symposium on Tech Transformation 2024 di UiTM Cawangan Perlis.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika berucap dalam program Symposium on Tech Transformation 2024 di UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, penggunaan AI seperti ChatGPT, Grammarly dan QuillBot AI sering digunakan dalam bidang pendidikan oleh warga universiti untuk tujuan penyelidikan, penulisan, penerbitan dan pembelajaran.

Penggunaan AI dalam bidang sukan pula banyak membantu pakar strategi sukan untuk mencari kelemahan pihak lawan, membuat analisis dan memaparkan keputusan analisis perlawanan dan mencadangkan strategi untuk memperoleh kemenangan.

Jelas beliau, AI juga banyak digunakan dalam bidang perniagaan untuk memahami kehendak pelanggan, penjanaan idea pemasaran produk, membantu melariskan penjualan produk, membina model perniagaan dengan lebih efektif, memperbaik perkhidmatan dan pengalaman kepada pelanggan serta meningkatkan produktiviti sesuatu syarikat berdasarkan cadangan yang diutarakan oleh perisian AI.

Dalam ucapannya juga, beliau menyuarakan kebimbangan jika AI digunakan dengan agenda bersifat negatif yang mampu menggugat kestabilan negara.

Meneliti kesan AI yang mampu mengganggu keharmonian masyarakat, memberikan imej buruk kepada agama dan mewujudkan ekstremis yang mampu memberikan krisis kepada negara adalah menjadi tanggungjawab kita.

Tegas beliau, isu privasi seumpamanya haruslah berlandaskan undang-undang dan polisi yang digariskan oleh kerajaan agar ketirisan maklumat peribadi dan sulit tidak berlaku.

Beliau berkata, penggunaan AI secara tidak beretika boleh mewujudkan masyarakat yang malas untuk berfikir secara kritis lalu memberikan kesan kepada penjanaan idea kreatif dan inovasi dalam kalangan generasi muda, sekali gus masalah kecelaruan maklumat dan penyebaran fitnah semakin berleluasa.

Oleh hal yang demikian, beliau menyeru agar golongan muda untuk terus belajar dan memahami sisi positif dan negatif penggunaan AI selain menerapkan etika agama Islam dalam penciptaan dan penggunaan teknologi tersebut.

Beliau juga menyahut seruan kerajaan untuk menyebarluaskan maklumat berkaitan dengan bidang AI dan menyokong inisiatif pendidikan dan pelaburan teknologi AI di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Sesi penyerahan cenderamata oleh Penasihat International Institute of Islamic Thought (IIIT) East and Southeast Asia, YBrs. Profesor Emeritus Dr. Dato Wira Jamil Osman (tengah) kepada Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (kiri).
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi