Diterbitkan pada 6 Jun 2024, 09:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dicadangkan untuk dipinda bagi menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan paralel.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataannya berkata, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Menteri Pendidikan Tinggi telah mengemukakan sebuah Memorandum Jemaah Menteri secara bersama mengenai cadangan pindaan Akta 50.

“Cadangan tersebut bertujuan menyelesaikan kemelut pendaftaran doktor perubatan yang mendapatkan kelayakan kepakaran perubatan melalui laluan paralel dan memperkemas proses pengiktirafan dan pendaftaran sebagai pakar perubatan,” kata YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan berkenaan dan rang undang-undang untuk pindaan tersebut akan dibentangkan pada sesi Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 2024 setelah diluluskan oleh jemaah menteri.

Beliau berkata, jemaah menteri juga cakna akan keperluan perkhidmatan kepakaran di semua fasiliti kesihatan yang semakin meningkat di seluruh negara.

Laluan paralel yang dilaksanakan dengan kerjasama KKM dan program sarjana perubatan yang dilaksanakan oleh institusi pendidikan tinggi tempatan berfungsi untuk melahirkan lebih banyak pakar bagi memenuhi keperluan tersebut.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa melalui pindaan yang akan dibuat, kedua-dua laluan latihan kepakaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dari aspek perundangan.

Jelas beliau, para doktor yang telah menyempurnakan mana-mana program seperti yang dinyatakan akan dapat didaftarkan sebagai pakar perubatan dalam Daftar Pakar Kebangsaan di bawah Majlis Perubatan Malaysia, sekali gus membolehkan segala isu berbangkit dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata, KKM akan memastikan kualiti latihan dan perkhidmatan, kompetensi pengamal dan pakar perubatan serta aspek keselamatan pesakit tetap terjamin apabila pindaan tersebut dilaksanakan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi