Diterbitkan pada 22 Mei 2024, 08:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Penganjuran Festival Harumanis Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis 2024 yang dianjurkan oleh UiTM Cawangan Perlis, Kampus Arau menunjukkan komitmen universiti ini dalam usaha untuk memperkenalkan dan mempromosikan produk daripada hasil kemajuan inovasi sains dan teknologi oleh warga UiTM Cawangan Perlis sendiri.

Festival yang berlangsung sejak 19 Mei 2024 hingga 21 Mei 2024 itu dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), YBrs. Dr. Noriman Rojulai mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (Pengurusan), YBrs. Dr. Noriman Rojulai ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

“Festival ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan produk pertanian dari ladang UiTM Cawangan Perlis, khususnya mangga harum manis yang sinonim dengan negeri Perlis, malah membantu memperkasakan industri pelancongan negeri ini sejajar dengan sambutan Tahun Melawat Perlis 2024–2025,” kata YBrs. Dr. Noriman Rojulai.

Ujar beliau, penghargaan ini bukan kerana keupayaan UiTM Cawangan Perlis dalam menganjurkan acara yang berprestij, namun inisiatif ini turut memberikan impak yang besar dalam mempromosikan Perlis sebagai destinasi pelancongan yang unik dan menarik.

Menurut beliau, pelbagai produk berinovasikan mangga harum manis dan destinasi menarik yang terdapat di Perlis dapat dipromosikan dengan adanya penganjuran festival seumpama ini, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong yang berkunjung ke sini.

Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan bahawa inisiatif ini berupaya memberikan pendedahan yang lebih luas terhadap produk kreatif tempatan, meningkatkan ekonomi komuniti setempat serta memperkukuh jenama harum manis sebagai produk kebanggaan Perlis.

Penganjuran festival ini membantu melonjakkan ketampakan UiTM Cawangan Perlis dalam mempelopori dunia keusahawanan agroteknologi merangkumi inovasi dalam agropertanian, penggunaan teknologi hijau dalam pertanian, pemasaran digital produk dari ladang universiti ini, kelestarian sumber dan alam sekitar, amalan penggiliran tanaman baik dan pengurusan tanah secara praktikal.

Selain memberikan ruang kepada para usahawan muda untuk menonjolkan bakat keusahawanan masing-masing dengan pelbagai jualan produk berasaskan buah harum manis, misalnya usahawan dari Arauberry Flea Market dan Mokti’s Ice Cream, pertunjukan persembahan kebudayaan dari Persatuan Pancaseri UiTM Cawangan Perlis turut diadakan dalam festival berkenaan.

Festival Harumanis UiTM Cawangan Perlis 2024 turut membuka peluang kepada usahawan muda menonjolkan bakat keusahawanan masing-masing.

Turut hadir memeriahkan festival tersebut ialah Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim, Ketua Pengarah Karnival Jubli Emas UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Mohammad Saifulddin Mohd Azami, Pengarah Program Festival Harumanis UiTM Cawangan Perlis 2024, Encik Syahir Ramli, barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis dan tetamu undangan lain.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi