Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyeru kepada semua pihak dan mana-mana individu agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan anak ikan atau ikan yang tergolong dalam ketegori ikan pemangsa atau invasif yang dikenali juga sebagai “alien spesies”.
DOF dalam kenyataannya berkata, hasil daripada program inventori yang telah dijalankan oleh Jabatan Perikanan Negeri Selangor serta maklum balas yang diperoleh daripada nelayan darat mendapati bahawa beberapa sungai utama di Selangor kini dikesan menjadi habitat ikan pemangsa.
“Spesies invasif mula mengancam populasi ikan tempatan seperti ikan kelah, temoleh, jelawat, lampam, tenggalan, kerai, terbul, sebarau, baung dan udang galah yang selama ini mendiami perairan tersebut,” kata DOF.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Puan Noraisyah Abu Bakar dalam kenyataan yang sama berkata, beberapa sungai yang dikesan menjadi habitat spesies invasif adalah di Sungai Klang, Sungai Langat, Sungai Selangor dan Sungai Bernam serta di beberapa tasik dan kolam takungan.
Menurut beliau, ikan spesies invasif seperti baung ekor merah, peacock bass dan ikan pacu berupaya membiak dan membesar dengan cepat serta terus berkembang.
Tambah beliau, sebahagian daripada ikan ini juga boleh bertahan di dalam air yang tercemar seperti ikan keli afrika dan ikan bandar raya.
Antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca lambakan ikan invasif termasuklah ritual keagamaan dan membayar nazar serta yang dibawa masuk bagi tujuan hobi atau dibela di dalam akuarium, namun kemudiannya dilepaskan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab ke dalam sistem saliran tempatan apabila tidak mampu untuk mengendalikannya lagi.
DOF berkata, pihaknya tidak pernah melarang atau menyekat sesiapa untuk melakukan upacara nazar, namun dengan syarat tidak melepaskan ikan invasif atau pemangsa ke perairan umum.
Jelasnya, semua pihak yang berhasrat untuk melepaskan ikan ke perairan umum perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pejabat perikanan daerah yang terdekat.
Katanya, individu yang tidak lagi mampu untuk memelihara ikan asing tersebut boleh menghubungi jabatan perikanan yang berhampiran untuk membuat serahan bagi proses pengendalian yang sewajarnya.
Jabatan Perikanan Negeri Selangor juga berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh komuniti pemancing yang telah mengambil inisiatif bersama-sama jabatan dalam usaha untuk membendung populasi spesies invasif ini dengan menangkap dan mengeluarkan ikan tersebut dari perairan umum negara.
Selain itu, pelbagai program juga telah dilaksanakan demi memastikan ikan asli tempatan berada dalam keadaan aman untuk mendiami perairan umum.
Dalam hal ini, orang awam dinasihatkan agar sentiasa cakna dan tidak mengambil mudah akan pencerobohan ikan asing ke perairan umum walaupun dengan apa-apa alasan termasuklah hal yang berkaitan dengan keagamaan, sosial serta masalah untuk memeliharanya kerana kepentingan pemuliharaan ekosistem sungai, terutamanya ikan asli merupakan tanggungjawab semua pihak.