Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Berdasarkan Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (2017–2021), kes kanser serviks didapati menurun dengan adanya pelaksanaan program imunisasi human papillomavirus (HPV).”
Hal tersebut dijelaskan secara terperinci oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBrs. Dr. Mardiana Omar secara langsung menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.

Menurut beliau, HPV merupakan sejenis virus yang boleh menjangkiti lapisan kulit dan selaput mukosa serta berupaya mendatangkan risiko yang tinggi kepada manusia untuk mendapat kanser seperti kanser serviks, kanser vulva, kanser vagina dan kanser penis.
Sebanyak 99 peratus daripada kes kanser serviks adalah disebabkan oleh jangkitan HPV.
Mengulas lanjut mengenai perkara ini, trend penurunan kes kanser serviks itu berlaku disebabkan oleh wanita, terutamanya dalam lingkungan usia seawal 30 tahun telah melakukan saringan penyakit ini dan mendapatkan rawatan awal selepas disahkan menghidap kanser serviks.
Imunisasi HPV ialah proses yang merangsang sistem perlindungan badan manusia untuk menghasilkan antibodi melalui pengambilan vaksin dan antibodi itulah yang akan menghalang jangkitan HPV.
Beliau menyatakan bahawa program imunisasi HPV di negara ini telah dimulakan pada tahun 2010 dan merupakan antara perkhidmatan imunisasi yang diberikan di sekolah.
Sasaran utama bagi pemberian imunisasi HPV ialah pelajar perempuan tingkatan satu, manakala individu yang tidak bersekolah diberikan tumpuan kepada remaja perempuan yang berusia 13 tahun.
Tegas beliau, pencapaian liputan imunisasi HPV telah melebihi 90 peratus sejak tahun 2010, namun terdapat masalah bekalan vaksin HPV pada tahun 2020 yang bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah terjejas pada peringkat global telah mengganggu proses pemberian imunisasi ini.
Walau bagaimanapun, KKM sangat komited memberikan imunisasi HPV kepada murid yang tercicir sebelum ini selepas bekalan vaksin HPV kembali pulih.
Ibu bapa hendaklah peka akan tarikh pemberian vaksin yang diberikan oleh pasukan kesihatan sekolah agar mereka dapat memastikan anak-anak menghadiri program imunisasi berkenaan.
Ujar beliau, pasukan kesihatan sekolah biasanya akan membuat lawatan kali kedua untuk memberikan perkhidmatan kepada individu yang terlepas mendapatkan vaksin HPV.
Remaja perempuan yang berusia 13 tahun hingga 16 tahun yang tercicir dan tidak bersekolah boleh membuat janji temu di klinik kesihatan yang berhampiran untuk mendapatkan vaksin HPV.
Sebelum mengakhiri temu bual, beliau menggalakkan ibu bapa untuk memberikan kebenaran secara bertulis agar membolehkan anak-anak mereka layak memperoleh imunisasi HPV di sekolah.