Diterbitkan pada 12 Mei 2024, 15:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Kesihatan gusi kekal terpelihara sekiranya seseorang itu turut menggunakan teknologi seperti penggunaan laser, waterpik atau waterfloss dalam memastikan kebersihan gusinya.

Penjelasan tersebut dinyatakan oleh Pakar Pergigian Periodontik, Klinik Pergigian Pauh, Perlis, YBrs. Dr. Kimra Kaur A/P Rajit Singh dalam program “Penggunaan Teknologi untuk Kesihatan Gusi” yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, pagi tadi.

Pakar Pergigian Periodontik, Klinik Pergigian Pauh, Perlis, YBrs. Dr. Kimra Kaur A/P Rajit Singh (kanan) ketika mengupas tentang penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan gusi yang bersiaran secara langsung menerusi Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.

Menurut YBrs. Dr. Kimra Kaur A/P Rajit Singh, ciri gusi yang sihat dilihat berdasarkan kedudukan gusi yang berwarna merah jambu, tekstur gusi yang pejal, bentuk gusi yang kuat dan melekap di permukaan gigi.

Gusi atau dalam bahasa saintifiknya, periodontium ialah struktur tisu yang menyokong gigi dan gusi (gingiva) termasuklah ligamen yang menyokong tulang rahang.

Jelas beliau, penyakit periodontium, iaitu jangkitan pada gusi dan tisu yang menyokong gusi pada peringkat awal hanya melibatkan gusi, namun merebak ke bahagian akar gigi dan tulang penyokong gigi pada peringkat seterusnya sekiranya tidak dirawat.

Beliau berkata, gejala penyakit gusi termasuklah gigi mulai longgar, nafas berbau, berasa tidak selesa di dalam mulut, gigi berubah dari kedudukan asal, gusi menyusut, gusi bernanah, gusi menjadi merah dan bengkak.

Penyebab utama berlakunya penyakit periodontium adalah disebabkan oleh pembentukan plak gigi kerana terdapat sisa makanan yang tertinggal di dalam gigi, di samping ada bahagian dalaman gigi dan gusi yang sukar dicuci dengan bersih.

Dalam sesi perbincangan itu juga, beliau menerangkan beberapa langkah pencegahan penyakit gusi dengan menasihati orang ramai agar mengekalkan penjagaan kebersihan mulut dan gigi, melakukan pemeriksaan pergigian secara berkala, berhenti merokok dan menggunakan flos gusi dengan teknik yang betul bagi mengelakkan gusi berdarah.

Waterpik atau waterfloss merupakan antara teknologi yang digunakan dalam menjaga kesihatan gusi.

Orang ramai perlu memastikan kesihatan gusi kekal sihat dengan pelbagai cara serta menyebarkan kesedaran berkaitan dengan kepentingan menjaga kesihatan gusi kepada keluarga, rakan sekerja dan masyarakat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi