Diterbitkan pada 6 Februari 2024, 14:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sejumlah 2093 tapak lokasi sampah haram telah ditutup sepanjang tahun 2023 yang melibatkan anggaran kos pembersihan berjumlah RM1.6 juta dan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 6410 tan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui agensi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah melaksanakan pembasmian tapak sampah haram secara besar-besaran di tujuh buah negeri dengan mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2007 (Akta 672).

“KPKT memandang serius akan isu berkaitan dengan pengurusan sisa pepejal di bawah fungsi SWCorp, yakni pelaksanaan operasi berterusan tapak pelupusan sampah haram merupakan antara inisiatif utama kementerian pada tahun ini,” kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, tindakan tersebut adalah bertepatan dengan gagasan Malaysia MADANI yang memfokuskan dua tonggak utama, iaitu kesejahteraan dan ihsan dalam memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat selaras dengan hasrat KPKT yang sentiasa prihatin terhadap kualiti kehidupan masyarakat.

Tambah beliau, sebanyak 15 kes pendakwaan mahkamah telah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM168,000.00 sepanjang tahun 2023.

Beliau juga memaklumkan bahawa penutupan tapak pelupusan sampah haram itu melibatkan kekuatan anggota dan petugas sebanyak 44 orang daripada SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd. dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan jumlah sisa pukal dan sisa binaan yang dibersihkan sebanyak 500 tan.

Pelbagai usaha akan giat dijalankan oleh kementerian sebagai langkah untuk membanteras kewujudan tapak pelupusan sampah haram secara komprehensif dengan lima strategi utama telah dirangka.

Antara strategi tersebut termasuklah memasang kamera litar tertutup di setiap titik panas (hot spot) sampah haram untuk memantau dan membawa pesalah ke muka pengadilan, menjalankan pemeriksaan aliran sisa terhadap penjana sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri untuk memastikan sasaran sifar lokasi sampah haram menjelang tahun 2026 tercapai dan menubuhkan Skuad Tindak Pantas pada peringkat SWCorp bagi melaksanakan pelan tindakan yang dirancang.

Selain itu, dua strategi lain bagi menangani masalah tersebut ialah mencadangkan tapak pelupusan sisa lengai baharu untuk pelupusan sisa binaan dan sisa institusi, komersial dan industri serta mempertingkatkan penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan dengan kesalahan melupuskan sisa pepejal di tempat yang tidak dibenarkan.

Kerja kutipan sisa pepejal isi rumah dan sisa pukal akan diteruskan dan dipergiatkan bersempena dengan sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

Beliau juga menyatakan bahawa keperluan untuk meningkatkan frekuensi kutipan, terutamanya sisa pukal di kawasan berpenduduk tinggi kaum cina akan dilihat dari semasa ke semasa dan mengikut keperluan serta penduduk dinasihatkan untuk mengeluarkan sisa pukal yang tidak dikehendaki bagi tujuan kutipan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi