Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyeru kerjasama kolektif pelbagai pihak untuk memulihara dan memelihara ekosistem tanah lembap.
NRES turut menyeru agar pengurusan tapak Ramsar sedia ada diperkukuh dan kerajaan negeri mempergiatkan usaha untuk mencalonkan kawasan tanah lembap yang berpotensi sebagai tapak Ramsar yang baharu.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRES, Malaysia telah menyertai Konvensyen Ramsar pada 10 Mac 1995 dan hingga kini terdapat tujuh kawasan tanah lembap di Malaysia telah diiktiraf sebagai tapak Ramsar.
Tapak Ramsar yang diiktiraf itu termasuklah Tasek Bera, Pahang pada tahun 1994, Tanjung Piai, Pulau Kukup dan Sungai Pulai, Johor pada tahun 2003, Kuching Wetlands National Park, Sarawak pada tahun 2005 serta Lower Kinabatangan–Segama Wetlands dan Kota Kinabalu Wetlands, Sabah masing-masing pada tahun 2008 dan tahun 2017.
Dalam kenyataan itu dinyatakan bahawa NRES bertanggungjawab sebagai national focal point Konvensyen Ramsar di Malaysia dan sentiasa komited dalam menyokong usaha memulihara dan memelihara ekosistem tanah lembap.
Sehubungan dengan itu, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi memeriahkan sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2024 termasuklah Sambutan Hari Tanah Lembap 2024 di Tapak Ramsar Tasek Bera, Pahang.
NRES memaklumkan bahawa 2 Februari telah diwartakan pada peringkat antarabangsa sebagai Hari Tanah Lembap Sedunia yang bertujuan menyemarakkan kesedaran awam, meningkatkan penghargaan dan memperkasakan tindakan pemuliharaan dan pemeliharaan ekosistem tanah lembap.
Pada tahun ini, “Tanah Lembap dan Kesejahteraan Manusia” ipilih sebagai tema bagi menekankan kepentingan ekosistem tanah lembap kepada kesejahteraan kehidupan manusia.
Ekosistem tanah lembap seperti sungai, tasik, tanah gambut, paya bakau, muara, lagun, terumbu karang, kolam ikan, sawah padi, empangan dan periuk garam memainkan peranan yang sangat penting, terutamanya dari segi keterjaminan makanan dan minuman, sumber ubat-ubatan, sistem tebatan banjir secara semula jadi, habitat flora dan fauna serta rekreasi bagi mewujudkan suasana harmoni antara manusia dengan alam sekitar.