Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melancarkan program Gaya Hidup Hijau peringkat kementerian, hari ini.
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh NRES, program yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Yang Berhormat (YB) Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad itu merupakan komitmen kementerian dalam usaha merancakkan kempen gaya hidup hijau bagi mendorong perubahan mampan, menggalakkan kitar semula dan menyokong komitmen bagi mencapai sifar sisa pembungkusan menjelang tahun 2040.
Antara program yang dilaksanakan semasa hari pelancaran tersebut termasuklah perasmian mesin pengumpulan botol plastik melalui reverse vending machine (RVM) NRES, pelancaran inisiatif kitar semula TRASH4PROTECTION dan platform pengumpulan e-sisa serta kempen beg boleh guna semula.
Menurut YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, NRES mengambil inisiatif mewujudkan mesin pengumpulan botol plastik melalui RVM yang digerakkan berdasarkan kecerdasan buatan dengan kerjasama pemain industri Klean.
NRES juga memaklumkan bahawa usaha tersebut adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 dengan komitmen kementerian untuk menggalakkan alternatif dan bahan mampan dalam pengeluaran plastik.
Untuk menerapkan amalan kitar semula dalam kalangan warga kementerian, inisiatif kitar semula TRASH4PROTECTION turut dilancarkan dan penyertaannya dibuka kepada warga NRES berdasarkan pengumpulan mata hasil daripada pembuangan sampah hingga mencapai nilai tertentu untuk menebus mata yang dikumpulkan dalam bentuk perlindungan polisi insurans bagi tempoh setahun.
Tambah beliau, program berkenaan merupakan kerjasama antara NRES dengan Wastetowealth Holding (M) Sdn. Bhd.
Selain itu, NRES juga menyediakan platform pengumpulan e-sisa yang bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat, khususnya warga kementerian dalam memastikan e-sisa diurus dengan baik.
Program yang diadakan semasa pelancaran program Gaya Hidup Hijau tersebut menjadi pencetus kepada pembentukan warga NRES selaras dengan matlamat menjadi model peranan (role model) “Gaya Hidup Hijau” kepada masyarakat dan usaha yang dilaksanakan akan dipelbagaikan dalam program NRES yang seterusnya.
Kementerian dan organisasi lain diharapkan dapat turut serta dalam melaksanakan usaha mencapai Malaysia yang lebih mampan.