Diterbitkan pada 11 Januari 2024, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Wacana STEM yang bertajuk “Mengapa STEM Diperlukan pada Tahun 2024?” anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama Persatuan STEM Kebangsaan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan membincangkan hal berkaitan dengan STEM yang memacu kemajuan bangsa dan negara.

Wacana tersebut menampilkan Presiden dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Noraini Idris selaku moderator, Ketua Pegawai Eksekutif, ASM, Puan Hazami Habib serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia, Encik Rusdhi Abdul Hamid sebagai ahli panel wacana yang diadakan di ASM, hari ini.

Presiden dan Pengasas Persatuan STEM Kebangsaan, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Noraini Idris.

Dalam sesi wacana tersebut, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Noraini Idris menyeru agar menjadikan wacana ini sebagai daya yang jitu kepada semua pihak untuk melaksanakan kerjasama pintar bagi meningkatkan promosi terhadap pendidikan STEM kepada masyarakat, bukan sahaja kepada generasi muda, malah STEM itu sendiri perlu dihayati sebagai nadi kepada kemajuan rakyat di negara ini yang akan memberikan impak kepada kemakmuran negara secara menyeluruh.

Perkongsian daripada Puan Hazami Habib pula telah membuka pemahaman yang seluas-luasnya mengenai dunia yang akan menghadapi krisis kos kehidupan susulan pandemik COVID-19 dan situasi ini memberikan kesan kepada ekonomi global termasuklah ekonomi di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Sains Malaysia, Puan Hazami Habib.

Berdasarkan hasil analisis ASM, manusia akan berhadapan dengan krisis alam sekitar pada 10 tahun akan datang seperti mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, krisis sumber asli, kehilangan biodiversiti dan ekosistem.

Menurut beliau, ruang antara masa kini dengan masa hadapan inilah yang akan menimbulkan risiko baharu yang belum dikenal pasti dan diketahui sekali gus memberikan kesan terhadap masyarakat dan ekonomi negara.

Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau turut menjelaskan empat elemen penting bagi memperkukuh STEM dalam masyarakat, iaitu menjadikan semula Pusat STEM Kebangsaan sebagai Pusat STEAMS Kebangsaan agar subjek STEM lebih cekap dan berpaksikan kemanusiaan.

Elemen kedua yang diutarakan oleh beliau ialah membentuk konteks teknologi melalui STEM, misalnya kecerdasan buatan yang berpaksikan budaya dan masyarakat Malaysia.

Elemen ketiga pula ialah memperkukuh tatakelola dan tadbir urus STEM yang sistematik serta berimpak agar peluang pekerjaan dalam sektor teknologi tinggi dan kerjasama pada masa hadapan dapat diwujudkan, manakala elemen terakhir yang dikongsikan ialah negara ini perlu memperkasakan dan memperbanyak sumber rujukan tentang STEM dalam bahasa Melayu.

Pada masa yang sama, beliau juga berkongsikan teknologi baharu yang muncul dan memberikan pelbagai peluang kepada generasi masa hadapan untuk bersedia menjalani era ini, iaitu teknologi berkaitan dengan telekomunikasi 5G atau 4G, teknologi penderia, percetakan empat dimensi (4D) atau lima dimensi (5D), bahan termaju, sistem kecerdasan termaju, keselamatan siber dan enkripsi, augmentasi analitik, penerokaan data, sistem lejar digital, neuroteknologi dan teknologi biosains.

Seterusnya, Encik Rusdhi Abdul Hamid berkesempatan berkongsikan tentang teknologi yang telah berperanan beratus tahun dalam memajukan sistem kehidupan manusia dengan menyediakan peluang pekerjaan sebagai pembina ataupun pencipta teknologi bagi memacu daya inovasi bidang multiteknologi ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia, Encik Rusdhi Abdul Hamid.

Jelas beliau, semua pelajar, golongan pendidik dan masyarakat perlu memahami dan memiliki motivasi agar ruang dan peluang untuk menjadi sebahagian daripada kepakaran tersebut dapat direbut oleh rakyat tempatan bagi mengelakkan Malaysia ketinggalan daripada menjadi pemain utama teknologi global ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia memerlukan tenaga mahir berdasarkan komposisi tenaga kerja Malaysia (semasa), iaitu sebanyak 63 peratus golongan pekerja separa mahir dan 24.9 peratus pula ialah golongan profesional berkemahiran tinggi.

Tambah beliau, gandingan sumber manusia adalah penting untuk mewujudkan masyarakat yang berteknologi menjelang tahun 2030 dan negara ini juga memerlukan sebanyak 35 peratus pekerja yang berkemahiran tinggi untuk tersenarai sebagai sebuah negara maju.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed mewakili Ketua Pengarah DBP telah menyempurnakan majlis penutupan wacana berkenaan.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed mewakili Ketua Pengarah DBP ketika berucap dalam majlis penutupan wacana “Mengapa STEM Diperlukan pada Tahun 2024?”.

“Program STEM merupakan antara program yang terkandung dalam Pelan Strategik DBP 2021–2025 yang menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 bagi mempergiat program STEM dalam bahasa Melayu yang berupaya sebagai bahasa ilmu dalam bidang ini,” kata YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed ketika berucap dalam majlis penutupan wacana berkenaan.

Menurut beliau, bahasa Melayu bukan sekadar mampu digunakan dalam pendidikan STEM, malah penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan STEM akan memastikan sahsiah, keperibadian, jati diri dan nilai Melayu dapat dipupuk dan dibangunkan seiring dengan pembangunan STEM yang harus menitikberatkan sistem nilai budaya dan agama Islam.

Turut serta dalam wacana tersebut ialah Timbalan Rektor, Pusat Pembangunan Latihan, Institut Pendidikan Guru Malaysia, YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, wakil agensi awam, warga pendidikan, perunding pendidikan STEM, para profesional dan pihak swasta STEM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi