Diterbitkan pada 9 Januari 2024, 16:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Lojing – Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Cawangan Jalan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama PETRONAS Research Sdn. Bhd. (PRSB) sedang melaksanakan satu kajian pemantauan produk turapan jalan lapisan permukaan haus jenis stone mastic asphalt (SMA) yang menggunakan bitumen terubah suai dengan campuran plastik, iaitu PETRONAS Plastic Modified Bitumen.

Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia, produk yang dibangunkan oleh PRSB menggunakan spesifikasi SMA dengan bitumen terubah suai gred PG76 dan mula diturap setebal 50 milimeter pada 10 Januari 2023 sepanjang 200 meter di Jalan Persekutuan FT185, Jalan Simpang Pulai–Blue Valley, Kelantan.

Lokasi itu dipilih bagi membuktikan bahawa produk berkenaan mempunyai daya tahan yang tinggi memandangkan kawasan tersebut merupakan kawasan berbukit dan sesi pemantauan prestasi turapan produk ini berakhir pada hari ini.

Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi juga turun padang bagi meninjau keadaan turapan jalan tersebut dan mendapatkan laporan keberkesanan teknologi berkenaan bersama-sama Pengarah Kanan Cawangan Jalan, JKR Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Ibrahim Esa, Pengarah Kanan JKR CREaTE, Pengarah JKR Negeri Kelantan, Penasihat Solusi Teknologi Digital, Teknologi dan Pengkomersilan Kumpulan PETRONAS, Ir. Mohamad Faudzi Mohd Yasir serta pegawai kanan JKR Malaysia.

Berdasarkan laporan dan pemerhatian yang dilakukan oleh KKR, produk tersebut berjaya melepasi ujian bahan dan campuran bahan serta menunjukkan prestasi yang baik di tapak projek sepanjang setahun pemantauan dilaksanakan.

Secara dasarnya, produk turapan jalan dengan campuran bitumen terubah suai yang menggunakan bahan buangan plastik tempatan ini boleh dijadikan sebagai bahan alternatif turapan jalan.

KKR juga memaklumkan bahawa produk berkenaan dijangka mampu mengatasi masalah jalan berlubang sekali gus meningkatkan daya tahan terhadap aluran selain dapat menyahut seruan kerajaan dalam pembinaan mampan melalui penggunaan bahan terpakai sebagai inovasi dan teknologi baharu dalam pembinaan dan infrastruktur negara.

KKR sentiasa komited dalam memastikan jaringan laluan persekutuan kekal berkualiti melalui inovasi teknologi penyenggaraan yang berterusan selaras dengan hasrat kempen MYJalan yang telah dilancarkan oleh KKR, iaitu menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan pelibatan semua pihak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi