Diterbitkan pada 21 Julai 2026, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pempengaruh diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dalam mempromosikan produk kesihatan di media sosial bagi mengelakkan penyebaran tuntutan palsu, mengelirukan pengguna serta membahayakan kesihatan awam.

Demikian perkara yang ditegaskan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Puan Siti Hawa Mohd Nor dalam sesi temu bual yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi, KKM, Puan Siti Hawa Mohd Nor dalam sesi temu bual yang disiarkan menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di saluran Radio Televisyen Malaysia.

Menurut beliau, kemunculan banyak pempengaruh yang mempromosikan pelbagai produk kesihatan menerusi platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok kini semakin membimbangkan, terutamanya apabila melibatkan tuntutan kesihatan yang berlebihan serta tidak disokong oleh kajian saintifik.

Antara dakwaan yang sering dikaitkan dengan produk berkenaan termasuklah mampu menumbuhkan rambut, menghilangkan penyakit seperti kencing manis, membantu penurunan berat badan dalam tempoh yang singkat serta memberikan kesan tanpa kesan sampingan.

Katanya,

Perkara ini sangat bahaya kerana tuntutan kesihatan mestilah berdasarkan kajian saintifik yang dilakukan secara beretika dan pempengaruh perlu mempunyai tanggungjawab sosial untuk memastikan perkara yang disampaikan kepada masyarakat adalah benar dan tidak mendatangkan kemudaratan.

Promosi produk kesihatan yang tidak berdaftar, mengandungi bahan terlarang atau membuat tuntutan palsu boleh memberikan kesan buruk kepada pengguna, khususnya golongan warga emas dan ibu mengandung yang mudah terpengaruh dengan testimoni di media sosial.

Katanya, terdapat situasi pengguna mendapatkan produk yang didakwa mampu menghilangkan sakit lutut atau membantu meningkatkan kesihatan hanya berdasarkan promosi dalam talian, sedangkan produk berkenaan mungkin mengandungi bahan terlarang atau tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Ujarnya,

Jangan mudah terpedaya hanya kerana dibayar untuk mempromosikan sesuatu produk serta pengguna juga perlu bijak dan mendapatkan pandangan daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang produk kesihatan.

Beberapa akta dan peraturan diwujudkan bagi mengawal pengiklanan produk kesihatan, misalnya Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 yang menetapkan bahawa pengiklanan produk atau perkhidmatan berkaitan dengan kesihatan perlu mendapat kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat.

Beliau berkata, kelulusan berkenaan penting bagi memastikan iklan yang disiarkan tidak mengandungi tuntutan berlebihan, mengelirukan pengguna atau mendatangkan risiko kepada kesihatan.

Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 turut melarang produk makanan daripada membuat tuntutan kesihatan seperti mendakwa mampu menyembuhkan penyakit.

Jelasnya, pihak yang melanggar akta dan peraturan yang berkaitan boleh dikenakan tindakan termasuklah denda hingga RM3,000.00 atau penjara hingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam sesi temu bual itu juga, beliau menasihatkan pengguna supaya menyemak status pendaftaran sesuatu produk sebelum membuat pembelian dengan memastikan nombor pendaftaran KKM yang bermula dengan “MAL” diikuti dengan lapan digit serta abjad tertentu pada label produk.

Tambah beliau, pengguna juga perlu memastikan kewujudan label keselamatan hologram pada pembungkusan dan membuat semakan melalui laman rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara kerana terdapat produk yang menggunakan nombor pendaftaran atau logo kelulusan KKM palsu.

Mengulas lebih lanjut, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi KKM sentiasa menjalankan pemantauan dan risikan terhadap promosi produk tidak berdaftar di media sosial, termasuklah meneliti kandungan yang dibuat oleh pempengaruh.

“Tindakan akan diambil terhadap pihak yang mempromosikan produk tidak berdaftar melalui proses perundangan yang sewajarnya, termasuklah memastikan kandungan yang berkaitan ditarik balik atau diturunkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pempengaruh yang ingin mempromosikan produk kesihatan supaya merujuk Panduan kepada Selebriti dalam Pengiklanan Produk Kesihatan serta Garis Panduan Pengiklanan Produk Ubat Berdaftar yang boleh diperoleh melalui laman sesawang Bahagian Perkhidmatan Farmasi KKM.

Setiap pempengaruh perlu membayangkan bahawa pengguna yang menerima maklumat tersebut ialah ahli keluarga sendiri sebelum membuat sebarang tuntutan atau promosi.

“Fikirkan sama ada kita sanggup menyampaikan maklumat palsu atau mempromosikan produk yang tidak berdaftar kepada ibu bapa dan keluarga sendiri. Jangan kerana bayaran, keselamatan dan nyawa orang lain dipertaruhkan,” katanya sebelum mengakhiri sesi temu bual tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi